MANCHESTER City mengharungi misi hidup mati menentang kelab Belgium, Club Brugge dalam perlawanan Liga Juara-Juara di Stadium Etihad pada Khamis.
Menurut pengendali City, Pep Guardiola, ia umpama perlawanan akhir dan sebarang keputusan negatif akan menutup peluang mereka mara ke pusingan seterusnya yang juga pertama kali dalam karier pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Juara Inggeris itu telah mengharungi musim kurang memuaskan dalam mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara.
Satu kemenangan dalam 13 perlawanan, termasuk kekalahan Liga Juara-Juara kepada Sporting Lisbon dan Juventus antara Oktober dan Disember mempengaruhi prestasi City.
Namun, mereka bangkit memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir mereka untuk naik semula ke kedudukan empat teratas EPL.
Namun, kebangkitan City itu dibayangi kekalahan 2-4 kepada juara Perancis, Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara yang memberikan petanda buruk kepada juara bertahan itu.
Ketiadaan pemenang Ballon d’Or, Rodri akibat kecederaan lutut pada penghujung musim lalu telah menjadi tamparan hebat dan ditambah lagi dengan beberapa masalah kecergasan di pertahanan tengah apabila Ruben Dias, Nathan Ake dan John Stones semuanya terlepas sebahagian besar daripada kempen tersebut.
Bekas kapten, Kyle Walker pula mengejutkan kelab itu dengan permintaan untuk berhijrah awal bulan ini sebelum menyertai AC Milan secara pinjaman.
“Ada musim di mana terdapat banyak kesukaran. Ini (mengenai) bagaimana anda mengharunginya. Apabila Rodri dan pemain pertahanan boleh bermain, kami tidak akan berada di tangga ke-25 dalam Liga Juara-Juara.
“Kadang-kadang apabila anda mengalami situasi ini dan kemudian anda berjaya mara ke pusingan seterusnya ia akan menjadi kejayaan yang lebih besar,” katanya.
City ketika ini berada di kedudukan ke-25 Liga Juara-Juara dan perlu menewaskan Brugge untuk naik berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.