Misi Rhinos ‘tanduk’ Tok Gajah di Likas

Misi Rhinos ‘tanduk’ Tok Gajah di Likas


Park Tae-soo dijangka menjadi sandaran Sabah merobek gawang Pahang di Likas pada Sabtu. Foto Sabah FC

FINALIS Piala Malaysia 2003, Sabah FC mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Likas dengan memburu bekalan selesa apabila berdepan juara empat kali Sri Pahang dalam perlawanan separuh akhir pertama pada Sabtu.

Malah, pengendali Sabah, Martin Stano percaya setiap pemain skuad The Rhinos itu juga telah melupakan kekalahan kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Januari lalu.

Katanya, komitmen 150 peratus akan ditujukan berdepan Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad bagi mencerahkan peluang ke perlawanan akhir yang kali terakhir dilakukan pada 2003 sebelum tewas kepada kelab dari Selangor, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

“Sabah FC memandang serius kekalahan kepada JDT, dan melupakannya dengan misi baharu memburu kelebihan jaringan dalam separuh akhir pertama menentang Sri Pahang sebagai bekalan untuk timbal balik kedua selepas ini.

“Biarpun begitu kami menghormati status Sri Pahang selain tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan sama seperti pasukan-pasukan lain dalam Liga Super atau Piala Malaysia,” katanya pada Khamis.

Sementara itu, Stano sekali lagi mengharapkan penyokong-penyokong skuad Badak dapat hadir memberikan sokongan padu dalam usaha pasukan memburu bekalan selesa untuk ke pentas final.

“Kami amat berharap rakyat khasnya penyokong setia Sabah FC hadir ke Stadium Likas, Sabtu bagi memberikan sokongan padu sebagai ‘pemain ke-12’ skuad Badak dalam perlawanan penting ini.

“Sejujurnya, ini merupakan peluang serta landasan terbaik bagi pasukan Sabah FC membuktikan keupayaan pasukan untuk mara ke perlawanan akhir,” jelas Stano.

Mengenai status pemain Sabah menjelang aksi berdepan Pahang, Stano berkata, masih terdapat beberapa pemain berada dalam senarai kecederaan selepas menentang Harimau Selatan di Iskandar Puteri.

“Biarpun begitu, ia bukan masalah besar kerana Sabah FC masih mempunyai baki masa untuk menentukan senarai akhir pemain akan beraksi nanti,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top