SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 tidak mahu mengulangi kesilapan sama apabila menentang pasukan pilihan, SMK Meru, dalam aksi final Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 (B-18) Tahun di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini.
Pengurus pasukan, Mohammad Khairil Badiizaman menegaskan, aspek organisasi bertahan dan ketajaman penyudah bakal menjadi tumpuan utama pasukan berpusat di Shah Alam berkenaan menjelang pertembungan getir berdepan wakil Klang itu.
“Pemain perlu lebih berdisiplin mengekalkan bentuk bertahan, tidak terburu-buru dan sentiasa berkomunikasi sesama mereka,” jelasnya.
Beliau menambah, penguasaan bahagian tengah juga perlu diperkemaskan bagi memastikan Seksyen 19 dapat mengawal tempo permainan sekali gus mencipta peluang lebih terancang.
“Kita mahu mengawal rentak sendiri dan tidak terikut-ikut dengan permainan lawan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Seksyen 19 mara ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 selepas menyingkirkan naib juara Sumbangsih, SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi separuh akhir pada Khamis.
Dari segi serangan pula, Khairil mahu anak buahnya lebih klinikal di depan gawang selepas banyak peluang terlepas begitu sahaja pada aksi terdahulu.
“Setiap peluang kecil boleh jadi penentu, jadi pemain perlu lebih tenang dan berani membuat keputusan tepat di hadapan gol,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tetap yakin skuadnya memiliki kekuatan mental dan semangat berpasukan untuk menamatkan kejohanan dengan penuh bergaya.
“SMK Seksyen 19 berada pada landasan terbaik. Dengan disiplin dan fokus yang ada, saya percaya kami mampu bergelar juara,” tegasnya.
Kejohanan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
INFO
SEKSYEN 19 ROAD TO PETALING JAYA
KUMPULAN G
SMK Seksyen 19 2-1 SMK Darul Ehsan
SMK Pengkalan Permatang 0-2 SMK Seksyen 19
SMK Seksyen 19 5-0 SAM Muhammadiah Pekan Sabak
* SMK Seksyen 19 mara pusingan 16 setelah muncul juara kumpulan G
PUSINGAN 16
SMK Seksyen 19 3-1 SMK Bandar Rinching
SUKU AKHIR
SMK Seksyen 19 1-0 SMK Taman Tasik
SEPARUH AKHIR
SMK Dato’ Harun 2-2 SMK Seksyen 19
(SMK Seksyen 19 mara selepas menang sepakan penalti 4-2)