Misi sulung Postecoglou bersama Forest dijangka sukar di Arsenal

Misi sulung Postecoglou bersama Forest dijangka sukar di Arsenal


London: Pengurus baharu Nottingham Forest, Ange Postecoglou akan memulakan aksi pertamanya dengan cabaran sukar apabila Tricky Trees berdepan Arsenal di Stadium Emirates, Sabtu ini.

Postecoglou memiliki rekod buruk menentang Gunners apabila jurulatih dari Australia itu tewas dalam tiga daripada empat pertemuan menentang kelab utara London itu, manakala satu lagi berakhir dengan keputusan seri.

Rekod kekalahan beliau menentang Arsenal dijangka berterusan hujung minggu ini.

Selain prestasi hambar Postecoglou menentang Arsenal sepanjang kariernya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini, Forest gagal menampilkan permainan meyakinkan apabila bertemu mereka kebelakangan ini.

Forest tidak pernah menewaskan Arsenal dalam empat pertemuan terakhir di liga utama England termasuk tiga kekalahan.

Namun begitu, adakah Forest mampu mendapat lonjakan semangat daripada pengurus baharu dan mencatat kemenangan besar di gelanggang lawan? Jawapannya akan diketahui pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres turut dijangka akan menjaringkan gol perlawanan itu nanti.

Gyokeres sudah menjaringkan dua gol dalam tiga aksi untuk Arsenal di EPL setakat ini, iaitu dua gol ketika menang 5-0 ke atas Leeds United, yang juga satu-satunya aksi di tempat sendiri setakat ini.

Rakan sepasukan Gyokeres, Eberechi Eze turut dijangka akan menjaringkan gol.

Eze cukup cemerlang di Crystal Palace musim lalu apabila pemain antarabangsa England itu meledak 25 gol dalam semua kejohanan.

Dalam pada itu, jika anda menjangkakan Forest dapat menjaringkan gol, ia mungkin menerusi Chris Wood.

Wood mengharungi musim 2024-25 dengan cemerlang apabila menjaringkan 20 gol di EPL.

Ia menjadikan penyerang New Zealand itu terikat di kedudukan keempat dalam senarai penjaring terbanyak liga utama itu.

Malah, dia sudah menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan untuk Forest musim ini, termasuk gol pertama ketika mereka menang 3-1 ke atas Brentford pada Ogos lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top