May 18, 2024

Misi teroka peluang ekonomi, tarik pelaburan baharu di WEF – Anwar


Kuala Lumpur: Malaysia dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi yang akan berlangsung dua hari bermula hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata delegasi Malaysia pada mesyuarat itu juga akan berkongsi dasar dan hala tuju negara di samping mempertegas pendirian negara dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin dunia.

“Insya-Allah bermula hari ini, saya bersama menteri-menteri kanan serta delegasi Malaysia yang lain akan menghadiri persidangan serta mengadakan beberapa pertemuan penting bersama pemimpin dunia dan ketua-ketua korporat global.

“Pertemuan dan persidangan ini antara lain akan menyentuh perkara-perkara terkait kepentingan negara, bermula dengan sesi Plenari Pembukaan bertemakan Visi Baharu Pembangunan Global pagi ini di mana saya akan menyampaikan ucapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar yang tiba di Riyadh pada 10.25 malam tadi waktu tempatan atau 3.25 pagi ini waktu Malaysia, turut memohon doa buat kejayaan delegasi Malaysia dalam misi tersebut.

Sementara itu, Anwar juga menerusi hantaran di Facebook berkongsi kekhuatiran beliau terhadap budaya membaca bahan bacaan seperti majalah Dewan Masyarakat tidak popular dalam kalangan anak muda di sekolah dan universiti.

“Termenung mencari kaedah terbaik menyemarakkan budaya iqra’ (baca) dan menyuburkan tradisi aqliyah (tradisi ilmu),” katanya yang menjadikan Dewan Masyarakat sebagai bahan bacaan dalam penerbangan ke Riyadh.

Anwar berkongsi rasa kagum dengan bahasa, mutu karya dan pilihan rencana yang menarik dengan tema ‘debat hujah’ iaitu usaha mendorong ke arah wacana segar berlandaskan hujah dan fakta serta menolak ketaksuban dan fitnah.

“Merujuk khusus ke Dewan Masyarakat, rencana mengenai politik taksub, debat hujah, ulasan buku ‘The History of Java’ dan penonjolan George Santayana merupakan pengolahan cermat dan berharga. Semoga ia dapat menambat minat khalayak

“Puisi pilihan ‘Bahasa Tanpa Kasta’ karya Abizal (Miri) ternyata mengalirkan jernih budi, menyejukkan kalbu setiap insan, menyeberangi sempadan benua, usia dan zaman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top