June 18, 2024

Masyarakat India Kuala Kubu Baharu masih tunggu janji kerajaan bina SJKT – Ramasamy


KUALA KUBU BAHARU – Masyarakat India di Kuala Kubu Baharu masih menunggu janji kerajaan untuk membina sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebelum ini.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy berkata, malah banyak janji kosong yang ditaburkan kerajaan kepada penduduk negara ini, khususnya kaum India.

“Apa yang janji kosong antaranya pembinaan sekolah Tamil di Kuala Kubu Baharu tapi sampai sekarang tidak ada,” kata bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu, di sini, hari ini.

Berikutan itu, beliau menyarankan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak memilih calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Sebelum ini, Ramasamy menggesa agar masyarakat India memboikot PRK pada 11 Mei depan.

Malah Ramasamy pernah menggesa PN menamakan calon dari kaum India untuk PRK kali ini.

DUN Kuala Kubu Baharu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac mempunyai kadar pengundi terdiri daripada 46 peratus pengundi Melayu diikuti Cina (31 peratus), India (18 peratus), dan lain-lain (lima peratus).

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan bebas, Nyau Ke Xin. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top