KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menyatakan pendirian parti susulan afidavit Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak.
Untuk makluman, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO telah berikrar menyokong tentang kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ketua Pemuda Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berkata, tindakan mengadakan mesyuarat khas dan menyatakan pendirian parti adalah amat penting bagi mengharmonikan keadaan.
“Tindakan merahsiakan kewujudan titah adendum lalu amat menyedihkan terutamanya dalam kalangan ahli parti ini.
“Dalam afidavit berkenaan, Ahmad Zahid telah dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Titah Adendum yang secara jelas menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani hukuman tahanan rumah dan bukannya pemenjaraan di Penjara Kajang.
“Ahmad Zahid memaklumkan pemimpin kanan UMNO dan anggota kerajaan juga telah melihat titah adendum berkenaan yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, tindakan pihak-pihak yang bertanggungjawab merahsia dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Najib menjalani hukuman di rumah sepertimana termaktub dalam titah adendum adalah amat zalim dan derhaka.
Ahmad Zahid pada awal bulan ini telah berikrar afidavit bagi menyokong permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Bagaimanapun afidavit itu terdedah ketika prosiding fizikal dalam kamar permohonan semakan kehakiman oleh Najib bagi mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya baki hukumannya berjalan dari rumah.
Walaupun secara terbuka nama Ahmad Zahid tidak didedahkan namun telah difahamkan Presiden UMNO itu adalah saksi kritikal yang menyokong dakwaan Najib.
Najib memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Bekas perdana menteri itu juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. -MalaysiaGazette