Mohd Shazli dilantik CEO MFL

Mohd Shazli dilantik CEO MFL


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas hampir setahun memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), akhirnya Mohd Shazli Shaik Mohd dilantik secara rasmi ke posisi itu berkuatkuasa Ahad ini.

Pengumuman itu dilakukan MFL di laman sosial badan pengelola liga tempatan itu hari ini.

“MFL hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Shazli Shaik Mohd sebagai CEO MFL berkuatkuasa pada 1 Februari 2026.

“Mohd Shazli yang sebelum ini memangku tugas selaku CEO MFL sejak 3 Mac 2025 memiliki pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak khususnya membantu kelancaran operasi pertandingan dan sekretariat MFL apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL pada 2018”, kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menganggap pemilihan Mohd Shazli sebagai CEO MFL diharap dapat membantu badan pengelola liga profesional tanah air untuk terus diperkasakan selaras dengan hala tuju strategik Liga Malaysia.

“Pengalaman dan komitmen yang ditunjukkan oleh En Mohd Shazli sepanjang bersama MFL, khususnya ketika memangku jawatan CEO, memberi keyakinan kepada pihak Ahli Lembaga Pengarah MFL bahawa beliau adalah individu yang tepat untuk menerajui organisasi ini.

“Semoga pelantikan ini akan menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu ini akan memperkukuh tadbir urus Liga Malaysia yang kini sudah memasuki pertengahan musim 2025-2026,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Shazli adalah bekas pemain remaja Pulau Pinang dan pernah menjawat jawatan Ketua Unit Pertandingan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada 2015-2018.

Sebelum itu, beliau mengetuai Unit Pertandingan FAM (2013-2014), Ketua Unit Bolasepak NFDP, MSN (2010-2012) serta pernah berada dalam barisan pengurusan skuad kebangsaan serta pertandingan FAM (2003-2006).

Posisi CEO MFL kosong sejak Februari tahun lalu selepas Giorgio Pompili Rossi meletakkan jawatannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top