MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) merancang untuk melantik sekurang-kurangnya dua timbalan bagi membantu Ketua Kontinjen (CDM) memimpin pasukan negara ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pelantikan tambahan itu perlu mengambil kira faktor logistik memandangkan temasya kali ini akan berlangsung di tiga lokasi berasingan — Bangkok, Songkhla dan Chonburi.
“Kita perlu berbincang mengenai pelantikan seorang CDM dan sekurang-kurangnya dua timbalan bagi melancarkan pengurusan pasukan. Tiga hingga empat calon telah dikenal pasti,” katanya.
Menurut beliau, calon yang disenarai pendek terdiri daripada gabungan pentadbir sukan dalam MOM, bekas atlet serta wakil persatuan sukan kebangsaan (PSK).
“Beberapa nama telah disenarai dan saya akan berbincang perkara ini dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Pulau Pinang. Walaupun kuasa pelantikan terletak pada MOM, kami tetap mahu mendapatkan persetujuan menteri,” ujar Norza.
Pelantikan dua timbalan CDM bukan sesuatu yang baharu, malah pernah dilakukan pada edisi lalu di Phnom Penh 2023, yang menyaksikan legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli dan bekas pemain skuasy, Sharon Wee berkhidmat sebagai timbalan kepada Datuk Nasir Ali selaku CDM ketika itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Norza turut memaklumkan bahawa jenama Yonex telah dilantik sebagai pembekal rasmi pakaian kontinjen negara ke temasya berkenaan.
“Kami akan duduk berbincang bersama pihak Yonex mengenai rekaan dan aspek teknikal pakaian. Majlis Sukan Negara juga akan turut serta dalam proses ini,” katanya.
Tindakan ini dilihat sebagai langkah pembaikan susulan kritikan terhadap
Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dikritik meluas sehingga memaksa MOM menukar rekaan kit tersebut sebelum temasya bermula.