KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menjangkakan momentum transformasi ekonomi negara akan meningkat pada tahun 2024 ini yang mencerminkan asas kukuh dan keyakinan pelabur terhadap negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini kerangka kerja Ekonomi Madani telah membuahkan hasil positif apabila memiliki strategi pertumbuhan ekonomi negara dan dapat mengenal pasti pertumbuhan baharu industri.
Menurut beliau, ia terbukti menerusi pengembangan ekonomi berterusan dan dimangkin lagi oleh langkah-langkah ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan 2024.
“Kerajaan komited untuk memperkenalkan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab sambil memastikan kebajikan masyarakat yang terdedah dapat dilindungi.
“Selain itu, pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12s yang sedang dijalankan akan diteruskan bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA di Kuala Lumpur Convention Center di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah turut memberitahu subsidi diesel yang disasarkan merupakan salah satu pembaharuan dasar kerajaan yang telah berjaya dilaksanakan.
Ia merangkumi asas untuk untuk memerangi ketirisan yang berleluasa dalam bentuk penyeludupan dan penyelewengan oleh sektor komersial yang tidak layak mendapat diesel bersubsidi.
Kata beliau, asas lain adalah untuk mewujudkan ekonomi yang mampan untuk negara da meningkatkan penyampaian awam yang lebih baik dari segi infrastruktur, kesihatan dan sistem pendidikan yang lebih baik untuk semua lapisan rakyat Malaysia.
“Subsidi diesel telah meningkat 10 kali ganda daripada RM1.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM14.3 bilion pada 2023.
“Jumlah diesel bersubsidi meningkat mendadak daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023 walaupun bilangan kenderaan diesel berdaftar meningkat pada tiga peratus yang tidak selari dengan penggunaan.
“Malaysia tidak mampu kerugian berbilion-bilion ringgit setiap tahun hasil penyeludupan dan penyelewengan diesel.
“Ketika kerajaan terus melaksanakan pembaharuan sistemik untuk membendungnya rasuah, pembaziran dan ketirisan, akauntan memainkan peranan penting sebagai penyokong tadbir urus yang baik dan amalan perniagaan beretika, pengatur pemain digital dan pemboleh sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. – MalaysiaGazette