Monaco sedia turunkan Pogba buat pertama kali

Monaco sedia turunkan Pogba buat pertama kali


Paris: Paul Pogba akhirnya bersedia membuat penampilan sulungnya bersama AS Monaco selepas disenaraikan dalam skuad pasukan itu buat pertama kali musim ini menjelang aksi Ligue 1 menentang Rennes.

Bekas bintang Juventus dan Manchester United itu tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak September 2023.

Pemain berusia 32 tahun itu menyertai Monaco secara perpindahan percuma pada Jun lalu.

Pogba dikenakan penggantungan empat tahun pada Februari 2024 selepas didapati positif bahan terlarang DHEA yang meningkatkan paras testosteron.

Namun, selepas rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), hukumannya dikurangkan kepada 18 bulan.

“Kami sedang membantunya kembali ke potensi sebenar agar pasukan mendapat manfaat sepenuhnya,” kata pengurus Monaco, Sebastien Pocognoli, dalam sidang media.

“Dia masih ada kualiti untuk menyesuaikan diri dengan apa yang kami mahu terapkan di bahagian tengah. Penglihatan dan tekniknya tidak hilang,” katanya.

Ulas lanjut, Pocognoli yakin pengalaman luas Pogba akan beri manfaat buat pasukan.

“Banyak perkara positif termasuk pengalaman dan kepimpinannya, di dalam serta luar padang. Cuma dia perlu kembali menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan,” katanya.

Pemenang Piala Dunia 2018 itu hampir kembali beraksi bulan lalu namun terpaksa berehat semula selepas mengalami kecederaan buku lali kanan.

Penampilan terakhir Pogba dalam perlawanan kompetitif adalah ketika membantu Juventus menang 2-0 ke atas Empoli dalam saingan Serie A pada September 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top