syafil.syazwan@hmetro.com.my
Industri muzik tanah air kembali dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan gadis remaja baharu dikenali sebagai Inferno3 yang tampil mempertaruhkan single debut berjudul Money.
Lebih istimewa, kemunculan pertama kumpulan yang dianggotai tiga gadis lincah iaitu Hannis, 15, Hannah, 17, dan Eva, 17, turut menampilkan kolaborasi hebat bersama penyanyi versatil, Shiha Zikir.
Bernaung di bawah payung Shiha Zikir Empire dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Inferno3 bukan sahaja memiliki kelebihan dalam tarian, malah membuktikan kemampuan vokal yang mantap.
Bagi Hannis, peluang yang diberikan oleh syarikat rakaman ini dianggap sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi dapat berganding bahu dengan selebriti berpengalaman.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan rasa bertuah dapat melancarkan single pertama ini. Lagu ini bertambah istimewa kerana kami dapat menyanyikannya bersama Kak Shiha.
“Bukan semua orang dapat peluang ini. Kak Shiha seorang selebriti versatil dan siapa saja yang tak kenal namanya,” katanya.Pendapat itu turut diakui Hannah yang menyifatkan pengalaman luas Shiha dalam industri seni banyak memberi tunjuk ajar berguna kepada mereka.
Sementara itu, Eva mengakui perasaan gementar tetap ada, namun rasa teruja mengatasi segalanya apabila melihat kesungguhan Shiha yang turut turun padang menari bersama mereka dalam muzik video lagu berkenaan.
“Memang rasa sangat dihargai apabila artis senior seperti Kak Shiha sudi berkolaborasi dengan kami.
“Sepanjang tempoh mengajar kami, Kak Shiha tak garang pun… cuma dia tegas dan seorang ‘perfectionist’ terutama berkenaan konsep dan ‘vibe’ lagu ini,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai Money, lagu ciptaan Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat ini membawa mesej realiti kehidupan di mana wang menjadi keperluan asas untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa mengira usia.
Menurut Shiha, lagu ini pada asalnya dicipta untuk nyanyian solonya, namun dia berasa ia lebih sesuai diberikan kepada Inferno3 selepas melihat potensi lagu itu yang bertenaga.
“Apabila dapat lagu ini, saya sangat sukakan ‘sound’ yang dibuat. Iqie pun seorang yang mudah berbincang, saya minta dia tambah beberapa bahagian seperti ‘dance break’ untuk lebih memperlihatkan tarian Inferno3.
“Mereka sahut cabaran untuk menyanyikan lagu ini dengan baik, maka saya pun hadiahkan lagu ini untuk mereka,” katanya.
Mengulas mengenai pembikinan muzik video, Hannis berkongsi pengalaman mencabar apabila lokasi penggambaran diadakan di sebuah bangunan terbiar.
“Kami jaga keselamatan dengan baik, memang ada rasa takut, tapi seronok,” katanya.
Aksi tarian kumpulan ini turut mendapat sentuhan koreografer, Ezra Tham yang berdedikasi melatih mereka selama hampir empat hari sebelum penggambaran dijalankan.
Walaupun kini bergelar artis rakaman, Shiha menegaskan keutamaan terhadap pendidikan tidak pernah dikesampingkan oleh ahli kumpulan Inferno3.
Katanya, ibu bapa ketiga-tiga remaja ini meletakkan syarat supaya pencapaian akademik kekal cemerlang jika ingin terus aktif dalam bidang hiburan.
“Fokus Shiha Zikir Empire bukan untuk berlawan dengan mana-mana kumpulan lain kerana mereka adalah antara yang termuda.
“Kami lebih cenderung untuk menjadikan mereka membentuk pengaruh baik yang tersendiri terutama dalam kalangan remaja. Mungkin ada remaja lain yang ingin mengembangkan bakat seni, boleh contohi Inferno3.
“Jangan disebabkan masih belajar maka keinginan kejar cita-cita terbantut dan jangan sesekali mengurangkan fokus pada pelajaran disebabkan ingin kejar cita-cita,” katanya.
Shiha turut meletakkan harapan supaya peminat muzik tempatan dapat memberikan sokongan padu kepada irama M-Pop (Malaysia Pop) setanding dengan sokongan terhadap produk K-Pop.
© New Straits Times Press (M) Bhd






