Seorang Ahli Parlimen pembangkang tampil menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan institusi pertahanan negara.
Puji usaha Khaled Nordin
Memetik laporan daripada Malaysiakini, Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN) memuji usaha Khaled ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, sambil menyatakan keyakinan terhadap keupayaan menteri itu memulihkan keyakinan rakyat terhadap Kementerian Pertahanan.
“Saya ingin menyatakan keyakinan dan kepercayaan saya terhadap keupayaan Menteri Pertahanan (Khaled) dalam menyelesaikan masalah ini.
“Amat malang sekali dia menerajui MINDEF pada waktu yang sukar dan mencabar.
“Saya percaya dan menyokong penuh beberapa tindakan yang diambilnya sejak awal Januari apabila krisis kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlaku.
“Setakat ini, bagi saya menteri has done a good job,” kata Ikmal.
Percaya dan sokong tindakan Khaled Nordin
Pujian itu dibuat susulan pertuduhan mahkamah terhadap bekas Panglima Tentera Darat, Hafizuddeain Jantan dan bekas Panglima Angkatan Tentera, Nizam Jaffar, yang menurut Ikmal memerlukan tindakan tegas dan konsisten bagi memastikan integriti institusi pertahanan terpelihara.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan situasi semasa wajar dijadikan peluang untuk melaksanakan rombakan menyeluruh terhadap tadbir urus dan pengurusan perolehan pertahanan, sambil mengingatkan usaha pembaharuan tidak boleh bersifat sementara.

Dalam perkembangan berkaitan, Khaled sebelum ini menegaskan bahawa tindakan mendakwa individu terlibat rasuah sahaja tidak mencukupi tanpa langkah jangka panjang untuk membersihkan institusi berkenaan.
“Mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terlibat adalah jauh dari mencukupi. Ia tidak sama sekali akan menjadikan Kementerian ini suci dan bersih.
“Insya-Allah, ia tidak akan berhenti di situ sahaja. MINDEF akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan Kementerian ini dan juga ATM,” katanya ketika sesi taklimat menteri di Dewan Rakyat.

Artikel lain: ATM bukan kolam rasuah! Khaled Nordin tekad pulihkan integriti, pertahanan negara
Isu tadbir urus pertahanan terus menjadi perhatian apabila Ikmal turut mengulangi kebimbangannya terhadap kelewatan tindakan dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.
Sumber: Malaysiakini (Qistina Nadia Dzulqarnain)







