AMPANG – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diingatkan tidak memandang mudah setiap laporan yang dikemukakan penduduk terutamanya melibatkan kawasan berisiko tinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setiap laporan yang diterima perlu diteliti agar tindakan susulan dapat dibuat dengan segera.
“Melalui laporan, kita dapat melihat sama ada tanah tersebut milik Kerajaan Persekutan atau mana-mana agensi berkaitan kemudian baru beri amaran awal kepada pihak terlibat.
“Kita tidak boleh pandang rendah setiap laporan yang dibuat termasuk kawasan yang berisiko. Kalau berisko perlu diambil tindakan sama sendiri atau mengingatkan pemilik.
“Dalam kes ini, pemilik pembangunan tersebut perlu diingatkan . Saya juga dimaklumkan penduduk, dua atau tiga bulan sudah ada laporan, sama ada laporan tu sudah sampai atau tidak, harus disemak balik,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan tiada pembangunan berlebihan berlaku di atas bukit di Jalan G2 hingga menyebabkan runtuhan tanah.
Amirudin berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan kebenaran merancang kepada pemaju bagi kawasan tersebut sejak 2014 melalui kelulusan Jawatankuasa Teknikal untuk Pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
“Kawasan itu masih belum siap sepenuhnya. Ia bukan pembangunan berkepadatan tinggi ia lebih tertumpu kepada lot banglo.
“Mereka (pemaju) melalui jawatankuasa itu, diluluskan dan melalui proses itu telah dipatuhi namun isunya kini adalah mengenai penyelenggaraan jalan dan saliran yang telah dibina.
“Sebab itu, saya sangat menitikberatkan agar pihak berkuasa tempatan jika ada sebarang laporan atau isu timbul, mereka mesti mengingatkan pemilik tanah untuk memastikan kejadian sebegitu tidak berulang lagi,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, keseluruhan kawasan termasuk longkang dan jalan raya berada di bawah bidang kuasa pemaju atau pemilik tanah.
Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengingatkan penduduk terutamanya di kawasan pesisir pantai negeri Selangor membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar ataupun air pasang tinggi yang akan berlaku bermula 18 Oktober hingga 20 Oktober ini – MalaysiaGazette