Muhammad Shah Firdaus pecahkan tembok psikologi

Muhammad Shah Firdaus pecahkan tembok psikologi


PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya pelumba tersohor negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akhirnya berjaya memecahkan tembok psikologi yang membelenggunya selama ini.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, percaya kejayaan meraih pingat emas dalam acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye, merupakan detik penting dalam karier Muhammad Shah Firdaus.

“Selama ini, Muhammad Shah Firdaus seolah-olah berada di belakang Datuk Mohd Azizulhasni Awang. Sebelum Datuk Mohd Azizulhasni bersara, semua tumpuan diberikan kepadanya.

“Secara psikologi, Muhammad Shah Firdaus mungkin merasakan dirinya sekadar pelumba kedua. Namun, kejayaan meraih emas di Konya membuktikan bahawa beliau kini adalah pelumba utama dalam kem Malaysia. Semua mata kini tertumpu kepadanya. Saya yakin Muhammad Shah Firdaus telah berjaya mengatasi cabaran mental untuk menang,” katanya.

Dalam perlumbaan itu, Muhammad Shah Firdaus menewaskan dua pencabarnya, iaitu Sebastien Vigier dari Perancis dan Shinji Nakano dari Jepun, sekali gus mencipta sejarah dalam kariernya.

Amarjit, yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), menyifatkan kejayaan Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sebagai hadiah terbaik sempena ulang tahunnya pada Sabtu.

“Kejayaan mereka adalah hadiah paling bermakna untuk ulang tahun kelahiran saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Shah Firdaus dan Izzati atas pencapaian cemerlang mereka,” katanya.

Sebagai rekod, Nurul Izzah Izzati memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara pecut dengan catatan 10.578 saat (s) di Konya, mengatasi rekod terdahulu 10.658s yang dicatatnya di Kejohanan Lumba Basikal Asia Trek 2025 (ACC 2025) di Velodrom Kebangsaan, Nilai, bulan lalu.

Sementara itu, Amarjit, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI, menegaskan komitmen PKBM dalam terus memberi sokongan kepada Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati untuk memastikan mereka kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.

“PKBM akan sentiasa memantau perkembangan Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati bagi memastikan mereka terus mencapai kejayaan. Selain itu, kami juga akan menilai prestasi pelumba lain,” katanya.



Source link

OR