Muntah 15 kali sejam

Muntah 15 kali sejam


Washington: Seorang wanita dari Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) muntah sehingga 15 kali dalam tempoh sejam akibat penyakit jarang jumpa dikenali Sindrom Muntah Kitaran (CVS), lapor Today.com.

Sharisse Zeroonian, 29, muntah dengan teruk kerana tekanan, kebimbangan, atau gejala prahaid.

Ia berlaku selama beberapa hari sebelum hilang dan kembali pada minggu berikutnya.

Pada mulanya, doktor mendiagnosis keadaannya sebagai gangguan migrain, walaupun kesihatannya semakin teruk dan beberapa kali datang ke hospital.

Gara-gara kerap muntah, Sharrise mengalami penurunan berat badan, tekanan emosi dan kehilangan kerja.

Dia juga pernah terlintas untuk membunuh diri yang ironinya menyebabkan dia muntah dengan lebih kerap.

Sharisse disahkan menghidap CVS pada 2023 selepas dua tahun menanggung derita dan gangguan jarang jumpa itu dilaporkan menjejaskan kira-kira dua peratus individu, terutamanya wanita serta mereka yang mempunyai sejarah migrain.

CVS adalah gangguan interaksi usus-otak kronik yang dicirikan oleh episod muntah berulang, diikuti dengan tempoh kesihatan normal.

Mereka yang diserang CVS lazimnya akan mengalami tekanan, datang haid, makanan tertentu, mabuk ketika dalam perjalanan dan terlalu banyak tenaga.

Walaupun sindrom itu masih berlarutan, penggunaan ubat antiloya dan antipsikotik membantu Sharisse hingga sindrom dialaminya kurang serius.

Dalam kes yang teruk, Sharisse hanya boleh minum air atau makan gula-gula getah yang mengandungi vitamin dan mengelak keluar kerana takut muntah di hadapan orang ramai.

Sharisse menulis dan mengarahkan sebuah filem komedi gelap semi-autobiografi bertajuk Nothing Solid dipanggil ‘vom-com’ sebagai cara untuk jadi kreatif walaupun berjuang dengan CVS

Filem itu dijadualkan ditayangkan pada Ogos depan dan membantunya menangani sindrom dengan memberi kesedaran mengenai keadaan yang tidak difahaminya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top