SEBENARNYA ramai orang yang meyakini, untuk mendapatkan doa yang mustajab mesti kena pergi haji dan umrah. Doa yang mustajab ini mesti berdoa di depan Kaabah, di dalam Raudah atau di ketika berada di Tanah Suci, melaksanakan haji dan umrah.
Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Allah S.W.T telah bagi kita bermacam-macam ruang dan peluang untuk mendapatkan doa yang mustajab, cuma tinggal kitalah kena belajar dan merebut masa-masa tersebut, iaitu waktu-waktu yang terbaik untuk mendapatkan doa yang mustajab dari al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kena ingat, dengan syarat kita tidak melakukan sesuatu yang menjadi asbab yang boleh menghalang doa kita dikabulkan.
10 masa yang utama mustajabnya doa
1. Sepertiga akhir malam
Kalau waktu malam di Malaysia ini, ianya bolehlah dikatakan bermula lebih kurang pukul 8 malam. Subuh dalam pukul 6 pagi, jadi kita anggap sepertiga akhir malam itu, bermula dari 2.30 pagi – 3 pagi sampailah ke waktu subuh. Ini ada disebutkan dalam hadis riwayat Bukhari.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Allah S.W.T turun ke langit dunia setiap malam pada sepertiga malam terakhir. Allah S.W.T lalu berfirman, “Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku kabulkan! Siapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri! Siapa yang meminta ampun kepada-Ku tentu Aku ampuni. Demikianlah keadaannya hingga terbit fajar.””
(Hadis Riwayat Bukhari no. 145 dan Muslim no. 758)
Rasulullah S.A.W dalam sabda lainnya yang bermaksud:
“Di waktu malam terdapat satu saat di mana Allah S.W.T akan mengabulkan doa di setiap malam.”
(Hadis Riwayat Muslim No. 757)
Ketika meminta sama ada untuk hal dunia atau akhirat, Allah S.W.T akan mendengarkannya dan mengabulkannya kerana itulah waktu terdekat antara Allah S.W.T dan hamba-Nya.
2. Hujung solat sebelum beri salam
Jadi sebelum kita bagi salam, Assalamualaikum warahmatullah ke kanan dan ke kiri, kita berdoa dahulu kepada Allah S.W.T selepas kita habis baca tahiyat akhir. Ini ada di sebut dalam hadis Riwayat Tirmizi.
Tidak dapat dinafikan bahawa antara waktu yang kita digalakkan untuk berdoa padanya bagi mendapatkan kemustajaban adalah pada penghujung solat. Ini juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah S.A.W pernah ditanya:
“Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari?” Lalu Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardu.”
(Hadis Riwayat at Tirmizi)
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W memberikan petunjuk bahawa antara waktu yang mustajab padanya untuk berdoa ada dua, iaitu pada pertengahan malam dan juga pada penghujung solat fardu. Al-Mubarakfuri menjelaskan mengenai perkara ini dengan katanya iaitu doa yang lebih tepat menuju ke langit atau paling hampir kepada kemustajaban.
Ringkasnya, para ulama telah berbeza pendapat dalam memahami maksud ‘penghujung solat’ yang terdapat dalam hadis berkenaan. Sebahagian ulama berpendapat, ‘penghujung solat’ bermaksud selepas tasyahud dan sebelum salam sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah bahawa gurunya iaitu Ibn Taimiyyah telah memilih pendapat ini.
Berdoa dalam solat iaitu selepas membaca tasyahud akhir dan sebelum memberi salam adalah dibenarkan. Lebih-lebih lagi perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Apabila kamu selesai membaca tasyahud akhir, maka mohonlah perlindungan dengan Allah S.W.T daripada empat perkara, iaitu; daripada azab neraka Jahannam, seksaan kubur, fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan al-Masih al-Dajjal.”
(Riwayat Muslim 588)
3. Antara azan dan iqamat
Ini juga di sebutkan dalam hadis.
Dari sahabat Anas bin Malik RA, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya doa yang tidak tertolak adalah doa (yang dipanjatkan) di antara azan dan iqamat, maka berdoalah (di waktu itu).”
(HR. Ahmad no. 12584, sanad hadis ini sahih)
Dalam riwayat yang lain disebutkan yang bermaksud,
“Doa itu tidak tertolak (jika dipanjatkan di antara) azan dan iqamat.”
(HR. Tirmidzi no. 212 dan 3595, dinilai shahih)
Oleh kerana itu, hendaklah kaum muslimin memperhatikan hal ini dan tidak menyibukkan dirinya dengan hal-hal yang tidak berfaedah dan sia-sia tetapi datang ke masjid cepat-cepat dan berdoa banyak-banyak sementara menunggu iqamat.
4. Waktu laungan azan dan turunnya hujan
Ini ada disebut dalam hadis Riwayat Abu Dawud, ketika tengah hujan dan ketika sedang dilaungkan azan, kita boleh berdoa banyak-banyak.
Maksudnya:
“Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa. ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.”
(Hadis riwayat al-Hakim)
Bahawa doa ini adalah mustajab (sunat dan digalakkan) dibacakan ketika turunnya hujan bagi menambahkan lagi kebaikan dan keberkatan serta menjauhi musibah daripada sebarang kemudaratan.
Menjadi amalan Nabi S.A.W apabila melihat awan atau pun hujan turun maka Baginda S.A.W akan berdoa kepada Allah S.W.T agar awan atau hujan tersebut membawa rahmat bukannya musibah sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:
Daripada Aisyah RA, isteri Nabi S.A.W berkata: “Rasulullah S.A.W apabila melihat mendung di langit, Baginda berjalan ke depan, ke belakang atau beralih masuk atau keluar dan berubahlah raut wajahnya. Maka apabila hujan turun, Baginda mula menenangkan hatinya dan hilanglah kekhuatirannya.” Lantas Aisyah berkata; “Maka saya pun menanyakan hal itu , lalu Baginda menjawab: “Saya khuatir, kemungkinan ini menjadi azab yang ditimpakan ke atas umatku.” Dan ketika melihat hujan turun Baginda bersabda: “(Ini adalah) rahmat.””
(Hadith riwayat Muslim, no. 899)
5. Hujung waktu sebelum Maghrib (pada akhir Jumaat sebelum Maghrib)
Ini ada disebutkan dalam hadis. Hari jumaat tu ada satu detik/waktu di mana Allah S.W.T akan makbulkan doa orang yang berdoa kepada-Nya.
Waktunya adalah selepas Asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat berbanding dua pendapat yang kuat ini. Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat Imam Ahmad:
Daripada Abu Said dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada ALLAH S.W.T akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan ALLAH S.W.T akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas Asar.”
(Riwayat Ahmad, (7688)) (Hadis ini adalah sahih)
Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada ALLAH S.W.T melainkan ALLAH S.W.T akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas Asar.”
(Riwayat al-Nasa’ie, (1389)) (Hadis ini dinilai sahih)
Terdapat beberapa lagi hadis yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas Asar.
Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat Asar sehingga terbenam matahari.
Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenam matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadis yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain. (Lihat: Zad al-Ma’ad, 377/1)
Manfaat doa menjelang Maghrib
Abu Hurairah R.A meriwayatkan doa Rasulullah S.A.W yang dibaca ketika petang hari sebagaimana dikutip oleh Imam An-Nawawi dalam Kitab Al-Adzkar yang bermaksud:
“Ya Allah, dengan-Mu aku berpetang hari, dengan-Mu kami hidup, dengan-Mu kami mati. Hanya kepada-Mu (kami) kembali.”
(HR Abu Dawud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, dan lainnya)
Di antara bacaan doa menjelang maghrib yang boleh menjauhkan dari mara bahaya dan mohon perlindungan daripada Allah S.W.T, antaranya juga boleh membaca doa dari al-mathurat.
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dengan nama Allah yang apabila disebut segala hal yang ada di langit dan bumi tidak akan berbahaya. Dialah yang Maha Mendengar serta Maha Mengetahui.”
Maghrib adalah waktu keluarnya syaitan-syaitan maka sebaiknya kita membaca doa satu di antaranya yang terdapat dalam hadis riwayat Ahmad berikut:
3x أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
“Aku berlindung hanya dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang Allah ciptakan.”
Doa-doa di atas memiliki banyak manfaat bagi umat Islam secara mental, spiritual, fizikal dan emosi.
Berikut ini adalah beberapa manfaatnya:
– Merasai kehadiran Allah S.W.T
Di ketika membaca doa menjelang Maghrib ini, seorang muslim dapat merasakan akan kehadiran Allah S.W.T dalam setiap aspek kehidupan mereka. Ini membantu memperkuat ikatan hati antara seorang hamba dan Tuhannya.
– Membawa ketenangan dan kedamaian
Mengamalkan doa-doa ini, membantu menenangkan fikiran dan hati setelah seharian beraktiviti. Ini adalah waktu untuk merenungkan hari yang telah berlalu dan mempersiapkan diri untuk melaksanakan ibadah seterusnya.
– Memohon perlindungan
Salah satu aspek penting dari amalan ini adalah permohonan perlindungan dari segala mara bahaya. Ini mencakupi perlindungan dari bencana alam, kecelakaan, gangguan jin dan segala macam ancaman fizikal dan spiritual.
– Mengingatkan pada akhirat
Doa ini juga mengingatkan umat Islam akan hari penghakiman di akhirat dan pentingnya mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Ini membantu menjaga fokus/tumpuan pada tujuan akhir kehidupan dan termotivasi untuk melakukan amal yang baik.
– Meningkatkan kesedaran diri
Di saat membaca doa menjelang maghrib ini, umat Islam dapat merefleksikan diri/memuhasabah diri dan memperbaiki perilaku mereka. Ini membantu meningkatkan kesedaran diri dan sebagai pembimbing untuk menjalani hidup yang lebih baik.
– Memperkuat Iman dan keteguhannya
Doa ini juga dapat memperkuat iman dan keteguhannya dalam menghadapi ujian dan cobaan kehidupan. Umat Islam merasa lebih kuat dalam menghadapi segala tentangan dan badai takdir daripada Allah S.W.T dengan meyakini bahwa Allah S.W.T adalah Pelindung Utama.
– Mengajarkan makna rasa syukur
Dalam amalan ini, umat Islam juga belajar untuk bersyukur atas segala nikmat yang Allah S.W.T telah, sedang dan akan berikan. Ini membantu memupuk rasa syukur dan menghargai nikmat yang telah mereka dapatkan, sama ada kecil atau besar.
Umat Islam dapat merasakan manfaat spiritual yang besar dalam kehidupan sehari-hari mereka dengan memahami doa menjelang maghrib. Selain memahami, seorang muslim juga harus berusaha mengamalkan doa-doa tersebut agar mendapatkan manfaatnya. Selalu ingat dan amalkan agar kehidupan yang kita jalani sentiasa diberi keselamatan dan keberkahan oleh Allah S.W.T.
6. Waktu minum air zam-zam
Nabi S.A.W ada menyatakan, ianya berdasarkan doa dan niat si peminumnya. Ini ada disebutkan dalam hadis.
Daripada Ikramah meriwayatkan, bahawa Ibnu Abbas apabila minum air zam-zam berdoa:
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَسْأَلُكَ عِاْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشَفِيًا مِنْ كُلِّ دَاءٍ
“Ya Allah ya Tuhanku! Daku bermohon kepada-Mu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit.”
(Hadis riwayat ad-Dara Qutni dan lbnu Majah)
Adab minum air zam-zam
1. Berdoa sambil minum air zamzam.
2. Menghadap kiblat: Ibn Abbas (RA) berkata bahawa seseorang itu hendaklah minum air Zamzam sambil menghadap kiblat. (Sunan Ibnu Majah 3061)
3. Berdiri: Ibnu Abbas R.A berkata: “Aku telah memberikan air zamzam kepada Nabi Muhammad S.A.W dan beliau meminumnya sambil berdiri.” (Sunan an-Nasai, 2965)
4. Minum air zamzam dalam 3 tegukan: Dalam riwayat lain, Ibn Abbas (R.A) menasihati umat Islam supaya meminum air Zamzam dalam tiga teguk kerana ia adalah sunnah Nabi Muhammad (S.A.W). (Sunan Ibnu Majah, 3061)
5. Sapukan sedikit air zamzam di dada, kepala dan muka.
6. Minumlah air zam-zam sehingga kenyang kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
7. Sesudah minum, ucapkan pujian kepada Allah S.W.T (baca Alhamdulillah).
7. Waktu kita dalam kesusahan
kita berdoa dengan dimulakan dengan doa Nabi Yunus A.S
Doa Nabi Yunus:
لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
“Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh, aku termasuk orang-orang yang zalim.”
(Al-Anbiya’ : 87)
Doa ini terdapat dalam Surah al-Anbiya ayat 87 di dalam al-Quran.
Ini juga waktu yang Allah S.W.T akan mustajabkan doa. Ini ada disebutkan, dalam hadis Riwayat Tirmizi.
Doa merupakan kunci dan jalan bagi setiap umat Islam untuk meminta pertolongan serta perlindungan daripada ALLAH S.W.T.
1) Doa ketika ditimpa kesulitan hidup
Dari Ibnu Abbas R.A berkata, Rasulullah S.A.W berdoa ketika dalam kesulitan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Penyayang. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah pemilik Arasy yang agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan pemilik Arasy yang mulia.”
2) Doa ketika sedang kesulitan rezeki
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ، فَإِنَّهُ لاَ يَمْلِكُهَا إِلاَّ أَنْتَ
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu tambahan kurnia-Mu dan rahmat-Mu, kerana sesungguhnya tidak ada yang memilikinya kecuali Diri-Mu.”
3) Doa Nabi Musa agar dilapangkan dada
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
“Ya Allah, lapangkan untukku dadaku. Dan mudahkanlah urusanku. Dan lepaskan kekakuan dari lidahku. Agar mereka dapat dengan mudah mengerti perkataanku.”
(Taha : 25-28)
4) Doa meminta perlindungan daripada takdir buruk
اَللّٰهُمَّ اِنِّىْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِالْبَلَاءِ وَدَرْكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاءِ و شَمَاتَةِ الْاَعْدَاءِ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menemui penderitaan, daripada takdir yang buruk dan daripada keberhasilan musuh.”
(Sahih Bukhari)
5) Doa dipermudah segala urusan
اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
“Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau mengkehendakinya.”
(Sahih Ibnu Hibban)
Semoga dengan amalan beberapa doa tersebut dapat membuatkan kehidupan lebih tenang dan diberikan kelapangan dada oleh Allah S.W.T selain dimurahkan rezeki dunia serta akhirat.
8. Masa sedang diuji atau ditimpa musibah
Kita ucapkan:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أَجْرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأُخْلِفُ لِي خَيْرًا مِنْهَا
“Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada- Nya kami kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibahku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripada musibah ini.”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 918)
Nabi kata, sesiapa yang sebut doa ini dan dia berdoa, pasti Allah S.W.T akan gantikan dia dengan sesuatu yang lebih baik.
Ummu Salamah membaca doa ini ketika suaminya, Abu Salamah meninggal dunia. Lalu Allah menggantikan suaminya dengan insan yang lebih baik apabila Rasulullah S.A.W meminangnya.
9. Masa sedang bersama orang nazak, kemudian dia menghembuskan nafas terakhir
Jadi selepas nyawanya ditarik, ketika itu, Nabi S.A.W berpesan, doalah yang baik-baik sahaja sebab malaikat aminkan doa orang yang berdoa ketika itu. Ada disebut dalam hadis Riwayat Muslim. Begitu juga berdoa Ketika sedang Menziarahi orang yang sedang sakit.
Berikut doa untuk orang meninggal sesuai sunnah Nabi:
1. Doa mendengar orang yang meninggal
Diriwayatkan dari Abu Musa R.A dalam hadis Tirmizi, dianjurkan untuk mengucapkan Istirja ketika mendengar seorang anak adam yang meninggal. Berikut bacaannya:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kami berasal dari Allah dan akan kembali kepada-Nya.”
2. Doa mohon ampun
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً
“Ya Allah, ampuni diriku dan dia dan berikan kepadaku darinya pengganti yang baik.”
3. Doa mohon ampun dan kebaikan
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ
“Ya Allah, ampunilah ia, kasihilah ia, berilah ia kekuatan, maafkanlah ia, dan tempatkanlah di tempat yang mulia (surga), luaskan kuburannya, mandikan ia dengan air salju dan air ais. Bersihkan ia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju putih dari kotoran, berilah ganti rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah ganti keluarga (atau istri di surga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), istri (atau suami) yang lebih baik daripada istrinya (atau suaminya), dan masukkan ia ke surga, jagalah ia dari siksa kubur dan neraka.”
(Hadis riwayat Muslim).
10. Masa terjaga malam
Barangsiapa yang terjaga malam dan dia membaca doa ini:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala puji dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu”
سُبْحَانَ اللّهِ – والْحَمْدُللّهِ – وَ لا اِلهَ اِلَّا اللّهُ – وَ اللّهُ اَكْبَرُلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بالله العلي العظيم
“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, dan Allah Maha Besar Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung”
(HR Muslim)
Kemudian dia menambah dengan mengucapkan pula:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
“Ya Allah, ampunilah dosaku.”
Atau dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya. Kalau dia berdoa apa-apa sahaja kepada Allah S.W.T, Allah S.W.T juga akan mustajabkan doanya. Dan jika dia berwuduk dan melaksanakan solat maka akan diterima solatnya juga.
Maka apabila dirimu dalam kesulitan/kesempitan/kesusahan hingga kamu merasa tak sanggup memikulnya perbanyaklah kalimat tersebut.
Seorang hamba tidak boleh sombong dan merasa bahwa dirinya mampu untuk melakukan segala sesuatu. Seorang hamba seharusnya menyedari bahawa segala apa yang dilakukannya semata-mata kerana pertolongan Allah S.W.T. Sebab, jika Allah S.W.T tidak menolong maka tidak mungkin dia melakukan segala sesuatu. Maksudnya, dengan mengucapkan kalimat ini, seorang hamba telah menunjukkan kelemahan, ketidakmampuan dirinya, dan menunjukkan bahwa ia adalah orang yang sangat mengharapkan pertolongan Allah S.W.T.
Dan menyedari bahwa kita ini hamba bukan tuan, dan mengakui bahwa Allah S.W.T adalah pemilik diri ini.
Kesimpulannya:
Jadi inilah 10 waktu yang mustajab doa kita. Tidak perlu tunggu untuk berdoa di depan Kaabah sahaja, baru kita rasakan doa kita mustajab. Allah S.W.T telah bagi kita peluang dan ruang ini kepada kita semua, jadi yakinlah dengan janji-janji Allah S.W.T.
Jangan lupa untuk sentiasa berusaha dan merebut bersungguh-sungguh dan dengan sebaik mungkin waktu-waktu yang telah Allah S.W.T berikan kepada kita. Doa adalah senjata orang-orang yang beriman. Berdoalah.
Wallahua’lam
FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan, Pahang – HARAKAHDAILY 3/5/2024
The post Mustajabkah doaku? appeared first on Harakahdaily.