Nabila Razali Dedah Dihujani Kritikan Negatif, Akui Ingat Akaun Individu Komen Melampau – “Boleh Memaafkan, Tetapi Bukan Melupakan”

Nabila Razali Dedah Dihujani Kritikan Negatif, Akui Ingat Akaun Individu Komen Melampau – “Boleh Memaafkan, Tetapi Bukan Melupakan”


Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali akhirnya membuka mulut menjelaskan maksud sebenar ciapannya sebelum ini yang telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan tafsiran negatif dalam kalangan netizen.

Menurut Nabila, perkongsian berkenaan sama sekali tidak ditujukan kepada mana-mana individu tertentu, sebaliknya hanya pandangan peribadi yang dikongsikan secara umum sebagai pengguna media sosial.

“Saya tak berani nak ulas terlalu panjang. Setiap orang ada pandangan masing-masing dan itu hanyalah pendapat saya. Ia bukan ditujukan kepada sesiapa dan tidak membawa maksud tersirat.

“Cuma pandangan umum saya bahawa seseorang itu sepatutnya dinilai berdasarkan perkara yang sepatutnya, bukan cerita peribadi,” katanya.

Mengulas reaksi netizen, Nabila mengakui kenyataannya disalah tafsir kerana setiap individu menilai sesuatu isu daripada sudut pandang berbeza, sekali gus menyebabkan perbincangan di media sosial menjadi tidak terkawal.

“Saya sedar semua orang ada interpretasi sendiri. Sebab itu saya memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana apa sahaja yang saya cakap nanti mungkin akan disalah ertikan lagi. Saya lihat sendiri balasan di Threads sudah meleret ke arah lain.

“Ada juga yang cadangkan supaya saya padam hantaran itu. Tapi bagi saya, itu pandangan umum saya. Sama seperti saya menghormati pandangan orang lain, saya harap pandangan saya juga dihormati,” jelasnya.

Pelantun lagu Peluang Kedua itu berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Rico Rinaldi Summeraya 2026 yang berlangsung di Taman Tun Dr Ismail, Sabtu lalu.

Tambah ibu anak satu ini, sebagai pengguna media sosial, dia juga mempunyai hak untuk bersuara, namun tidak menafikan risiko salah faham sentiasa wujud apabila sesuatu pandangan dikongsikan secara terbuka.

“Bila orang sudah mentafsir sesuatu dengan cara yang salah, kita tak boleh kawal. Walaupun kita cuba jelaskan, kalau mereka nak fikir ke arah itu, mereka tetap akan fikir begitu. Sebelum menulis hantaran tersebut, saya sudah berfikir masak-masak.

“Tapi kadang-kadang perkara itu tetap jadi di luar jangkaan. Mungkin ada yang anggap saya tujukan kepada seseorang, sedangkan tidak langsung. Saya tak mampu mengawal tanggapan orang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nabila mengakui perdebatan yang semakin tidak terkawal itu telah membuka ruang kepada segelintir pihak untuk kembali mengungkit kisah silamnya.

“Apabila hujah sudah habis, perkara lama akan dibangkitkan semula. Saya tak marah. Semua orang tahu saya pernah melakukan kesilapan pada masa lalu. Saya boleh baca dan terima, cuma jangan ulang-ulang perkara lama. Kalau saya nak imbas kembali, saya boleh cari sendiri.

“Saya masih ingat akaun-akaun yang memberi komen melampau. Ada yang mungkin bawah umur, ada lelaki menyamar sebagai wanita, ada juga yang bercakap seolah-olah tiada batas.

“Saya sendiri tertanya-tanya dari mana datangnya bahasa seperti itu. Saya boleh memaafkan, tetapi bukan melupakan.,” katanya.

Sebelum ini, Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd Razali, 34, menjadi sebutan ramai selepas berkongsi pandangan mengatakan nyanyian seharusnya dinilai menerusi vokal dan suara penyanyi tersebut, bukan kisah peribadi yang dilaluinya.

Artikel Berkaitan: “Funny How Some People Judge Singing By Personal Life” – Nabila Razali



Source link

OR

Scroll to Top