Perkembangan terbaru mengenai Nadia Kesuma, pihak Wisma Putra memaklumkan pelakon itu dikesan telah meninggalkan Lapangan Terbang Jeddah.
Memetik Sinar Harian, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihak Konsulat Malaysia di Jeddah mengesahkan Nadia keluar dari kawasan lapangan terbang selepas tiba di Arab Saudi.
Menurutnya lagi, ia berdasarkan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Arab Saudi, selepas pencarian dilakukan pelbagai pihak.
“Ini bermakna Nadia sudah melepasi kawasan lapangan terbang. Laporan polis tempatan telah dibuat, namun mengikut peraturan di sana, laporan orang hilang hanya boleh diklasifikasikan selepas tempoh 20 jam,” katanya.
Sebelum ini, pelakon filem Syaitan Munafik itu gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur ransit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lalu.
Suami kepada pelakon itu iaitu Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah merayu kerajaan Malaysia segera menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.
Sumber: Sinar Harian






