Nahas helikopter: AS terpaksa tolak permintaan Iran

Nahas helikopter: AS terpaksa tolak permintaan Iran


WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) terpaksa menolak permintaan Iran yang meminta bantuan selepas nahas helikopter melibatkan pemimpin tertinggi negara itu atas sebab-sebab logistik. 

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller mendedahkan permintaan bantuan dari Iran itu sangat jarang dibuat oleh negara yang melihat AS dan Israel sebagai musuh utamanya. 

“Pemerintah Iran meminta bantuan AS. Kami maklumkan akan menawarkan bantuan sebagaimana yang dilakukan terhadap sebarang permohonan oleh negara asing dalam situasi kecemasan. 

“Bagaimanapun, pada dasarnya, kami tidak dapat menyediakan bantuan itu sebahagian besarnya atas sebab-sebab logistik,” katanya lapor Reuters.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci bagaimana kedua-dua negara itu berkomunikasi. 

Ahad lalu, helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian serta tujuh penumpang lain serta anak kapal terhempas di kawasan pergunungan, berdekatan sempadan Azerbaijan. 

Misi pencarian mangsa bertambah sukar apabila kawasan pergunungan itu dipenuhi kabus dan ribut salji. 

Iran belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai punca helikopter Bell 212 buatan Amerika itu terhempas. 

Kemalangan itu berlaku ketika Iran berdepan pelbagai kemelut politik, sosial dan ekonomi.

Pentadbiran Iran berdepan tekanan antarabangsa mengenai program nuklear yang sering menjadi pertikaian, mahupun hubungan ketenteraan dengan Rusia yang semakin erat susulan perang di Ukraine.





Source link

OR

Scroll to Top