June 18, 2024

Pertindihan jawatan ADUN lantikan dan Penyelaras DUN hanya persepsi – Wan Rosdy


KUANTAN – Dakwaan wujud pertindihan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dan Penyelaran DUN hanya persepsi pembangkang untuk mengelirukan rakyat.

Menteri Besar Pahang berkata, ia kerana  kelima-lima ADUN yang telah diumumkan itu masih belum diberikan pembahagian tugas dan belum menjalani istiadat mengangkat sumpah.

Bagaimanapun, katanya, jawatan-jawatan itu menguntungkan rakyat kerana sudah pastinya kebajikan mereka lebih terpelihara.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 13 Mei lalu meluluskan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Mereka ialah Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Manakala jawatan Penyelaras DUN diletakkan di semua  kawasan Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15  (PRU-15) di negeri ini.

”Kita pun belum buat agihan tugas, ini semua persepsi semua (pembangkang) ini sentimen untuk mengelirukan rakyat. Jadi mereka ni tidak habis-habis membuat dakwaan sebegini. Sedangkan ADUN lantikan ini belum mengangkat sumpah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan pembangkang yang mengatakan ada pertindihan jawatan antara ADUN lantikan dan Penyelaras DUN di negeri ini digalas kepada orang yang sama.

Wan Rosdy secara peribadi berkata, pelantikan itu tidak menimbulkan sebarang masalah namun isu berkenaan belum ada kata putus dan hanya digembar-gembur untuk dijadikan isu politik pembangkang.

Namun keutamaannya adalah fokus kepada rakyat dalam memastikan aspek kebajikan terjaga kepada semua lapisan masyarakat.

”Bagi saya kalau berlapis pun lagi bagus. Kalau ada ADUN lantikan berlapis dengan penyelaras DUN, maknanya kawasan itu mendapat tumpuan lebih, tapi kita tak nak pula kawasan lain yang tertinggal, semua kawasan kita akan jaga maknanya semua rakyat kita akan jaga,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa 2024 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, di Kuantan hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 1,600 mahasiswa mendapat sumbangan Bantuan Prihatin Pahang sebanyak RM400 seorang.

Sebelum ini, ADUN Kuala Sentul Datuk Jasri Jamaludin berkata kewujudan ADUN Lantikan tidak berasaskan kepentingan rakyat kerana mereka yang dilantik tidak dapat memberikan perkhidmatan kerana tidak mempunyai kawasan masing-masing.

Malahan ada dalam kalangan jawatan mereka bertindih dengan potfolio yang sedia ada, melantik orang sama tetapi melakukan dua jawatan lebih bermotifkan keuntungan peribadi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top