July 27, 2024

JKDM jadi alat kempen UMNO rampas Sabah – Zulkarnain

JKDM jadi alat kempen UMNO rampas Sabah – Zulkarnain


KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tidak menolak kemungkinan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) akan dijadikan sebagai alat kempen untuk memenangkan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tidak hairan apabila penubuhan JKDM di Sabah tidak pernah dibincangkan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mereka akan lantik wakil mereka melibatkan 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, agenda mereka sudah tentu nak mengambil alih Sabah bersama dengan Warisan.

“Sebab itu sejak awal-awal lagi mereka umumkan nak tubuhkan gagasan bersama UMNO dan Warisan.

“Matlamat mereka ingin mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah, itu sasaran mereka, sebab itu dia buat JKDM, ia menyerupai JKKK, mereka akan tenggelam bersama rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis ke atas Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan JKDM diperluaskan ke Sabah tanpa persetujuan Kerajaan Negeri Sabah di Balai Polis Sri Petaling.

Pada 17 Mei lalu, media melaporkan Ketua Perrhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpandangan  partinya itu perlu membentuk satu gabungan atau gagasan baharu dalam menghadapi PRN Sabah akan datang.

Beliau berkata, perkembangan politik semasa negara termasuk di Sabah menunjukkan tiada satu parti pun yang boleh memerintah melainkan melalui gabungan.

Zulkarnain juga berkata, penubuhan JKDM merupakan isyarat jelas UMNO dan Warisan mahu bertembungan dengan GRS dan PH dalam PRN Sabah akan datang.

“Sekarang ini bila Ahmad Zahid turun ke Sabah (melalui JKDM) semata-mata untuk pertahankan UMNO. Saya cukup yakin akan berlaku pertembungan di antara UMNO dengan GRS dan PH dalam PRN Sabah akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top