Pencapaian pasukan SRG.OG tetap membanggakan meskipun gagal mempertahankan kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Piala Pertengahan Musim (MSC) baru-baru ini. Foto: Facebook MPL Malaysia
SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan pencapaian pasukan Selangor Red Giants (SRG.OG) tetap membanggakan meskipun gagal mempertahankan kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Piala Pertengahan Musim (MSC) baru-baru ini.
Beliau berkata, kejayaan pasukan tersebut mara ke perlawanan akhir merupakan satu pencapaian yang wajar dibanggakan.
“Saya rasa tempat kedua bukan satu kegagalan. Ia satu pencapaian yang bagus. Hadiah yang dimenangi juga agak lumayan.
“Jadi, saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan SRG.OG kerana berjaya mara ke final,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) di sini pada Selasa.
Terdahulu, hasrat SRG.OG untuk mempertahankan kejuaraan MLBB MSC tidak kesampaian apabila terpaksa akur tewas 1-4 kepada wakil Filipina, Team Liquid PH (TLPH) pada aksi final utama di Riyadh, Arab Saudi, Selasa lalu.
Selaku juara, TLPH membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta, manakala naib juara, SRG.OG meraih AS$500,000.
Sementara itu, tempat ketiga kejohanan MSC turut dimenangi satu lagi wakil Filipina, ONIC PH, yang menumpaskan pasukan Indonesia, ONIC ID, dengan keputusan 3-2 pada perlawanan penentuan. – Bernama