am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan yang dijangka dibentang dalam penggal keempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 ditangguhkan ke sidang akan datang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penyediaan draf sebenarnya sudah selesai namun prosesnya yang berkaitan dengan agama khususnya bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah memerlukan kelulusan dari Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
“Kita sudah serahkan draf akhir dan pihak Jemaah Ulama memberikan semula kepada jawatankuasa kita beberapa cadangan serta komen dan daripada itu.
“Kita mengambil kira ada antaranya pandangan yang dimasukkan sebelum serahkan kembali untuk dipertimbangkan semula.
“Kita sedang tunggu, mungkin jangkaan asal kita boleh masuk (bentang) dalam sidang (DUN) ini tapi dengan proses sebegitu teliti, ia perlu sedikit anjakan dan insya-Allah akan cuba nanti dalam sidang DUN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai status terkini enakmen itu pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
DUN Kelantan sebelum ini meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024.
Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.
Mohamed Fadzli berkata, proses penyediaan draf mengambil masa yang lama kerana isu yang dibangkitkan adalah berkaitan bidang kuasa kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan dan ia satu isu yang rumit kerana pertindihan kuasa yang dibangkitkan.
“Ia memerlukan satu proses yang sangat teliti dan sebab itu dibentuk dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk yang saya sendiri mempengerusikannya serta Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh peguam syariah dan sivil.
“Ahli-ahli jawatankuasa itu terdiri daripada pakar semua bidang termasuk jabatan kerajaan negeri, pejabat mufti serta MAIK dan untuk tujuan itu, kita bukan saja bermesyuarat tapi adakan seminar memohon pandangan dan sebagainya.
“Isu utamanya adalah supaya enakmen yang akan diluluskan nanti tidak akan dicabar lagi atas alasan sama jadi untuk menuju ke arah itu, berbagai kaedah dan pandangan diambil dari semua pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






