Penyanyi, Azza Elite meraih perhatian ramai apabila tampil menegur seorang individu yang mempersoalkan harga makanan di Restoran Rembayung milik personaliti media sosial terkenal, Khairul Aming, secara terbuka di media sosial.
Individu berkenaan memuat naik ciapan mempertikaikan harga makanan di restoran tersebut dengan nada sinis, seolah-olah mempersoalkan sama ada premis itu benar-benar membantu rakyat dari segi harga makanan.
“Ini kedai idola awak semua? Nak tolong rakyat harga marhaen?” soal individu tersebut.
Tidak berdiam diri, Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari tampil membalas ciapan itu menerusi platform Threads dengan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai keterlaluan.
“Nak makan sedap tapi kedekut. Nanti Allah tarik rezeki baru tahu. Jangan kedekut dengan diri sendiri. Kalau mampu makan, kalau tak mampu kita masak sendiri. Selesai,” katanya.
Dalam pada itu, anggota kumpulan Elite itu turut mempersoalkan niat individu berkenaan yang memuat naik resit pembayaran ke media sosial, seolah-olah cuba mencetuskan sensasi.
“Kenapa nak kena tunjuk resit? Sebab nak hype? Kau makan Sukiya, Serai pun bil macam ni juga,” katanya lagi.






