‘Nak masuk syurga, jangan sakiti orang lain’ 

‘Nak masuk syurga, jangan sakiti orang lain’ 


Ustaz Nazarudin Bachok
– Advertisement –

KUALA LUMPUR: Orang beriman yang mahu masuk ke dalam syurga di akhirat kelak dilarang untuk menyakiti orang lain (baik dari segi fizikal mahupun mental), dan berusaha untuk membuatkan orang lain berasa suka akan dirinya.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri Johor, Ustaz Nazarudin Bachok berkata, ini berdasarkan maksud Hadis Nabi SAW yang berbunyi, “Hendaklah dia mendatangkan sesuatu kepada seluruh manusia yang sekiranya dia sendiri suka kalau sesuatu tadi didatangkan pada dirinya sendiri – yakni berbuat sesuatu kepada orang lain yang dia suka kalau hal itu diperlakukan pula atas dirinya sendiri.”

– Advertisement –

Menurut beliau, hadis tersebut menerangkan dua situasi iaitu larangan menyakiti (orang lain) dan yang kedua ialah berilah orang suka, yang mana permulaannya berbunyi, “Barangsiapa yang ingin dihindarkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka hendaknya dia meninggal dunia dalam keadaan beriman kepada Allah SWT dan hari kiamat, dan perlakukanlah orang lain seperti dia ingin diperlakukan seperti itu olehnya.

“Kita ambil fakta, sabdanya, ‘Barangsiapa yang ingin’…ungkapan ini adalah pertanyaan yang bertujuan untuk membuat orang lain tak keruan. Hal ini kerana semua orang ingin bebas dari api neraka dan ingin dimasukkan ke dalam syurga. Betul kan?.

“Justeru, orang yang mendapatkan keuntungan yang besar adalah orang yang diselamatkan dari neraka lalu dimasukkan ke dalam syurga. Maka, barangsiapa yang menghendaki hal ini, maka dia harus meninggal dunia dalam keadaan beriman kepada Allah SWT dan hari kiamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Atas dasar ini, ujar beliau, sudah sewajarnya setiap orang Islam yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta selalu mengingat-Nya kerana sebagai hamba Allah SWT, manusia tidak mengetahui bilakah kematian akan menjemput nyawa masing-masing. 

Tambah beliau, oleh kerana itu, sudah seharusnya manusia selalu memperhatikan keimanannya kepada Allah Taala dan kepada hari akhirat. 

“Dalam pada itu, kerana seseorang yang beriman kepada Allah Taala termasuk beriman dengan nama dan sifat-sifat-Nya, beriman kepada hari akhirat yang mencakup pahala dan seksa, maka dia harus istiqamah dalam menjalaninya.

“Selain itu, hal tersebut menjadi hak Allah Ta’ala yang tercantum di dalam sabda Rasulullah S.AW (yang bermaksud), “Dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari kiamat.”

Tambah beliau, adapun yang bersangkutan dengan hak-hak manusia, maka Baginda bersabda (yang bermaksud), “Dan perlakukanlah orang lain seperti dia (manusia) ingin diperlakukan seperti itu olehnya. la tidak berani menyakiti orang lain kerana ia sendiri tidak mahu disakiti.

“Dia tidak berani bertindak sewenang-wenangnya kepada orang lain kerana dia juga tidak mahu ada orang lain yang berbuat tidak baik kepadanya. 

“Dia tidak berani mencela orang lain, kerana ia juga tidak mahu dicela. Dia tidak berani menipu orang lain dalam jual beli dan tidak membohonginya kerana ia tidak menyukai kalau ia diperlakukan seperti itu. 

“Apabila semua orang melaksanakan kaedah ini ketika berinteraksi sesamanya  maka akan mendatangkan kebaikan yang banyak,” ulas Nazarudin.

Demikian ini menurutnya, sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Tidak dianggap beriman salah seorang di antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri”

Begitu juga  fakta  yang kedua menurut beliau iaitu ‘berilah orang suka kerana kalau kita ingin diraikan, mengapa tidak orang lain serta manusia berkehendak bergaul mesra dalam masyarakat dan mereka perlukan masyarakat’.

“Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Mukmin yang bergaul dalam masyarakat dan sabar akan kerenah mereka lebih baik berbanding dengan Mukmin yang tidak bergaul dan tak sabar pada kerenahnya.”

“Melihat contoh tauladan Nabi SAW yang sentiasa beri ucapan gembira. Seperti yang dilakukannya ke atas isterinya Khadijah RAH.

“Rasulullah SAW memberikan berita gembira kepada isteri beliau, Khadijah dengan memperoleh sebuah rumah di dalam syurga yang terbuat dari mutiara berlobang. Di situ tidak ada teriakan apa pun dan tidak pula ada kelelahan.

“Oleh yang demikian, kita disarankan agar tidak kedekut memberi penghargaan dan tahniah kepada manusia untuk kekalkan keharmonian dalam bermasyarakat. Hanya Allah SWT yang memberi taufik dan hidayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top