July 23, 2024

Naratif dangkal, ajar rakyat tunjuk protes peti undi – Fadhlina

Naratif dangkal, ajar rakyat tunjuk protes peti undi – Fadhlina


NIBONG TEBAL – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyifatkan tindakan pihak lawan mengajar pengundi menterjemahkan protes menerusi peti undi atas alasan kenaikan kos sara hidup pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, naratif tersebut boleh mencemarkan proses demokrasi negara.

Sebaliknya, jelas beliau, pemilihan wakil rakyat itu sangat penting ketika ini kerana pemimpin terbabit yang akan menterjemahkan semua isu rakyat ke peringkat atasan.

“Tidak begitu wajarlah protes (peti undi) dilaksanakan..kita kena tahu bahawa undi dan juga proses demokrasi ini berlangsung dalam kotak undi.

“Pada pandangan saya, dakyah dan naratif sebegitu sangat dangkal.

“Malah, tumpuan dan usaha kita (kerajaan) adalah untuk pastikan semua (isu rakyat) maknanya dari segi keupayaan dan khidmat kebaktian kita (wakil rakyat) mesti sampai kepada rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fadhlina bersama jentera parti menyantuni peniaga Pasar Malam Sungai Duri dalam usaha membantu kempen calon Pakatan Harapan, Dr. Joohari Ariffin.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khususnya pengundi Sungai Bakap supaya tidak terpengaruh dengan dakyah sedemikian.

“Kita perlu memberi sokongan penuh dalam melantik seorang wakil rakyat yang benar-benar boleh bekerja untuk rakyat dan menyampaikan suara mereka..InsyaAllah,” katanya.

BACA: Tunjuk protes rakyat di peti undi, kikis naratif sokong kerajaan – Abidin

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan rakyat harus menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini sebagai referendum menyatakan perasaan tidak puas hati dengan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berkata, referendum itu juga secara langsung mampu mengikis naratif yang dimainkan pihak lawan kononya rakyat sudah mula menerima Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, terdapat pelbagai isu nasional membebani rakyat termasuk kos sara hidup yang mana pengundi sendiri sedia maklum dan untuk membuktikan tanda protes, undi perlu diberikan kepada parti bukan kerajaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top