Nenek hilang ditemukan selamat tapi rugi RM46,000 ditipu sindiket bantuan palsu

Nenek hilang ditemukan selamat tapi rugi RM46,000 ditipu sindiket bantuan palsu


Kuantan: Seorang wanita warga emas dari Bentong yang dilaporkan hilang baru-baru ini ditemui selamat di Rawang, Selangor, selepas dipercayai diperdaya sindiket penipuan bantuan kerajaan yang menyasarkan golongan berusia.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 72 itu dilaporkan hilang oleh anaknya selepas mendapati ibunya dibawa keluar oleh dua individu tidak dikenali yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pada 3 September lepas.

“Hasil semakan turut mendapati wang simpanannya berjumlah RM46,000 dalam dua akaun bank telah habis dikeluarkan oleh suspek di dua bank di Rawang pada 3 September lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan selepas wang berkenaan berjaya dikeluarkan sebelum ditemui ahli keluarga dalam keadaan selamat sehari selepas kejadian.

Menurut Yahaya, modus operandi sindiket itu adalah memperdayakan warga emas dengan menawarkan bantuan kerajaan tidak wujud sebelum meminta mereka membawa dokumen penting dan kemudian dibawa ke bank untuk mengeluarkan wang tunai.

Beliau menasihati orang ramai khususnya golongan warga emas supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran bantuan daripada pihak tidak dikenali.

“Ahli keluarga juga perlu memantau pergerakan ibu bapa mereka,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top