‘New Age Movement’ ancam akidah, psikospiritual

‘New Age Movement’ ancam akidah, psikospiritual


GERAKAN New Age atau New Age Movement yang membawa fahaman bercanggah dengan akidah Islam kini semakin aktif menyusup ke dalam masyarakat melalui saluran motivasi, pembangunan diri dan rawatan alternatif.

Walaupun tampil dengan pendekatan yang lembut dan ‘holistik’, fahaman ini sebenarnya mengandungi unsur syirik khafi (tersembunyi), khurafat dan penolakan terhadap prinsip tauhid yang menjadi asas agama Islam.

Antara kepercayaan utama gerakan ini ialah manusia mampu mencipta realiti sendiri melalui ‘kuasa niat’, ‘tenaga getaran’ dan ‘kesedaran kosmik’, serta penggunaan simbol dan teknik seperti chakra healing, law of attraction, crystal energy dan pelbagai bentuk meditasi metafizik.

Pendekatan ini menolak pergantungan mutlak kepada ALLAH dan menyandarkan nasib serta takdir hidup kepada kekuatan tenaga dalaman manusia semata-mata.

Penolakan al-Quran terhadap kuasa ghaib bebas

Al-Quran secara jelas menolak kebergantungan kepada kuasa selain daripada ALLAH.

Firman-NYA: “Dan janganlah kamu menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak memberi manfaat dan tidak pula mendatangkan mudarat kepadamu. Jika kamu berbuat demikian, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Yunus: 106)

RAMAI mencari kaedah untuk memulihkan semangat diri sehingga ada yang menyertai kursus motivasi yang bercanggah dengan ajaran Islam. Foto Canva

Fahaman New Age Movement yang menjadikan manusia sebagai pencipta realitinya sendiri jelas bertentangan dengan prinsip rububiyyah — bahawa hanya ALLAH yang mengatur dan menentukan segala sesuatu.

Amaran Nabi terhadap amalan syirik, khurafat

Rasulullah SAW telah memberi amaran keras terhadap amalan yang melibatkan kuasa luar biasa selain daripada izin ALLAH, termasuk kebergantungan kepada bomoh, jampi yang tidak syarie dan penggunaan tangkal.

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun lalu mempercayai kata-katanya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat Ahmad)

“Barang siapa menggantungkan sesuatu (tangkal), maka dia telah melakukan syirik.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jelas, segala bentuk terapi spiritual atau pembangunan diri yang tidak berpaksikan kepada wahyu adalah batil walaupun dibungkus dengan istilah positif seperti ‘healing’, ‘niat rohani’ dan ‘energi dalaman’.

Pandangan ulama dan institusi Islam semasa

Jabatan Mufti Negeri Pahang pada 2024 secara terbuka menolak pengaruh New Age Movement yang menyusup ke dalam kursus motivasi dan rawatan rohani.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut mengambil tindakan terhadap individu yang didapati menyebarkan fahaman bercanggah dengan Islam melalui program pembangunan keluarga.

Syeikh Dr. Sa’ad al-Shithri, ahli Majlis Ulama Majlis Ulama Tertinggi Kerajaan Arab Saudi (KSA) pula menyatakan bahawa spiritualiti tanpa wahyu adalah pintu kepada bidaah dan kesesatan kerana hanya ALLAH yang berhak menentukan bentuk penyembuhan rohani, bukan manusia atau tenaga alam semesta.

Kajian psikologi moden sokong agama wahyu

Kajian oleh Harold Koenig dan Kenneth Pargament membuktikan bahawa religious coping yang berpaksikan kepada Tuhan (seperti Islam) memberikan kestabilan psikologi yang lebih tinggi berbanding spiritualiti bebas.

SUJUD kepada SANG PENCIPTA antara 'healing' terbaik umat Islam. Foto Canva

SUJUD kepada SANG PENCIPTA antara ‘healing’ terbaik umat Islam. Foto Canva

Menurut Pargament, agama wahyu menyediakan sistem nilai, makna dan harapan yang lebih mapan berbanding spiritualiti bebas yang subjektif dan tidak konsisten.

Kajian oleh Ellison & Levin turut menunjukkan bahawa individu yang berpandukan agama dalam kehidupan rohani lebih jarang mengalami kemurungan, kegelisahan dan kekosongan jiwa.

Jalan keluar: Psikospiritual Islam yang sahih

Sebagai respons kepada penyusupan ini, umat Islam perlu dididik dan dibimbing kembali kepada pendekatan psikospiritual Islam yang sahih iaitu:

1 – Zikir dan doa yang ma’thur.

2 – Tadabbur al-Quran.

3 – Solat tahajud sebagai terapi jiwa.

4 – Tawakkal dan syukur sebagai prinsip kesejahteraan rohani.

5 – Bimbingan guru dan ulama muktabar.

Pengalaman rohani yang autentik dalam Islam bukanlah hasil dari kekuatan getaran tenaga dalaman, tetapi daripada hubungan yang ikhlas dengan ALLAH SWT.

Kesimpulannya, gerakan New Age Movement bukan hanya satu ancaman akidah, tetapi juga merosakkan kerangka pemikiran dan psikologi umat Islam secara halus.

Umat Islam perlu lebih berhati-hati dan mendalami ajaran agama berdasarkan ilmu dan hujah yang sahih agar tidak terperangkap dalam perangkap spiritualiti palsu yang membinasakan.

***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top