June 14, 2024

Nie Ching jangan lupa sistem tender terbuka adalah mantera DAP – Ramasamy


KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P. Ramasamy mengingatkan Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching bahawa sistem tender terbuka adalah ‘mentera’ yang dilaungkan parti itu sejak dahulu.

Ramasamy secara sinis berkata, DAP wajar digelar ‘Direct Award Party’ jika mahu mengamalkan dasar ‘double standard’ (pilih kasih).

“Nie Ching jangan lupa sistem tender terbuka adalah mantera DAP. Melainkan jika dia berpendapat bahawa rundingan terus adalah cara yang lebih baik untuk menganugerahkan projek kerajaan. Jika ini benar maka DAP sepatutnya digelar ‘Direct Award Party’

“Sebagai kesimpulan, saya ingin mengatakan pemimpin DAP termasuk Teo tidak berada dalam kedudukan untuk mengajar orang lain mengenai amalan pilih kasih. Sikap hipokrit dan dwi-standard parti terlalu terkenal untuk dihebohkan lagi,” kata Ramasamy.

Beliau mengulas kenyataan Nie Ching semalam yang menyindir dirinya seperti mahu menjadi malaikat dalam isu pemberian projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) di bawah Kerajaan Selangor kepada dua syarikat termasuk dimiliki suami Hannah.

Ramasamy turut mempersoalkan sama ada Nie Ching menimbulkan kes melibatkan Lim Guan Eng untuk memalukan dirinya atau untuk memalukan Ahli Parlimen Bagan tersebut.

Ramasamy mendakwa komen Nie Ching telah mendedahkan ketidakmatangan dan tidak bertanggungjawab beliau sebagai Ketua Wanita DAP dan timbalan menteri dalam kerajaan Madani.

“Lim didakwa di mahkamah undang-undang dan perbicaraan sedang berjalan pada masa ini. Sewajarnya perkara itu diserahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Lim bersalah atau tidak.

“Setakat yang saya bimbang, tidak ada double-standard di pihak saya. Bagaimana mungkin saya meminta Lim meletak jawatan sedangkan dia tidak didapati bersalah pada mulanya.

“Adalah menarik untuk mengetahui mengapa Teo menggunakan contoh kes Lim terhadap saya. Adakah untuk memalukan saya atau Lim?” soal beliau.

Semalam Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, adalah tidak adil Ramasamy menggesa Hannah meletak jawatan berhubung isu pemberian kontrak Kerajaan Selangor kepada suaminya.

Nie Ching, berkata tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang selama 15 tahun di bawah kerajaan negeri DAP itu jelas menunjukkan sikap berpura-puranya selepas keluar daripada parti.

Beliau mempersoalkan tindakan Ramasamy yang tidak melakukan gesaan sama ketika bekas Setiausaha Agung yang kini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didakwa di mahkamah.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top