Nik Nazmi kosongkan kerusi Parlimen, keperluan dan aduan penduduk Setiawangsa tak terjejas – Hannah Yeoh

Nik Nazmi kosongkan kerusi Parlimen, keperluan dan aduan penduduk Setiawangsa tak terjejas – Hannah Yeoh


latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perkhidmatan berkaitan isu setempat, aduan dan keperluan penduduk Setiawangsa akan terus diberi tumpuan susulan Ahli Parlimen kawasan itu, Nik Nazmi Nik Ahmad memutuskan untuk mengosongkan kerusi Parlimen terbabit berkuat kuasa hari ini.

Jaminan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang turut memaklumkan sudah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud untuk memperkukuh peranan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa.

Ini katanya termasuk arahan supaya DBKL melakukan penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan.

“Saya merujuk kepada pengumuman Nik Nazmi semalam untuk mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Setiawangsa. Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, saya ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Nik Nazmi dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok.

Kedua-dua mereka memberitahu akan membuat pemakluman berhubung perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Mereka juga memaklumkan keluar dari PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia berkuat kuasa esok.

Hannah dalam kenyataan sama turut memaklumkan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi menyambung usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding, terutama memastikan ia kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Bukit Dinding menjadi antara isu yang diperjuangkan Nik Nazmi di Setiawangsa. Ketika memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi berusaha untuk mewartakan kawasan Bukit Dinding sebagai hutan simpanan kekal (HSK) di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Hannah turut memberitahu, penduduk Setiawangsa boleh hadir terus ke Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa, menghubungi talian 03-41422740 atau e-mel ke pcsw.dbkl@gmail.com sekiranya ada sebarang kemusykilan atau aduan berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top