July 13, 2024

Noh umum sertai Bersatu, kecewa rayuan adendum Najib gagal

Noh umum sertai Bersatu, kecewa rayuan adendum Najib gagal


TANJONG KARANG – Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar mengumumkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Noh yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor memohon menyertai Bersatu secara dalam talian semalam.

“Saya mengisi borang Bersatu semalam. Saya mohon secara dalam talian, tiada siapa pun tahu, kemudian saya terus dapat sijil menjadi ahli Bersatu,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 27 Januari lalu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dipecat daripada UMNO setelah didakwa melanggar disiplin parti mengikut Perlembagaan kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pemecatan Noh selepas terdapat laporan dan bukti kukuh beliau melakukan sabotaj terhadap calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Karang pada PRU-15, Datuk Habibah Mohd Yusof.

Noh juga terpalit dengan dakwaan kononnya menaja seorang calon bebas iaitu pegawai khasnya yang bertanding di Parlimen Tanjong Karang pada PRU-15 lalu.

Menurut Noh, tindakan itu dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak mengenai kebenaran kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

“Mengapa saya tiba-tiba mengambil keputusan yang begitu drastik ialah kerana saya amat kecewa dan sedih dengan nasib yang menimpa kepada Datuk Seri Najib mengenai titah adendum semalam,” katanya.

Beliau memberitahu, walaupun keputusan untuk menyertai Bersatu itu agak berat dan lebih setengah tahun baru beliau berbuat demikian kerana pesanan Najib yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

“Saya masih ingat pesanan Bossku (Najib) kepada saya, dia kata Noh, you kena sabar, jangan masuk mana-mana parti, bertenang dan bersabar, insya-Allah perjuangan kita akan berjaya.

“Saya menghormati Bossku dan saya mematuhi pandangan dan arahan daripada diberi Bossku, sebab itu saya tidak memasuki mana-mana parti politik sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top