Norza menang tanpa bertanding jawatan naib presiden OCA

Norza menang tanpa bertanding jawatan naib presiden OCA


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara hari ini.

MOM dalam kenyataan memaklumkan Norza memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2024-2028 pada Perhimpunan Agung OCA ke-44 di New Delhi, India.

“Bagi pihak seluruh keluarga MOM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Norza atas pemilihan sebagai Naib Presiden OCA.

“Ia membuktikan sifat kepimpinan dan dedikasi tidak berbelah bahagi terhadap kemajuan Pergerakan Olimpik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh benua Asia,” kata Timbalan Presiden MOM Tan Sri Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan.

Sementara itu, OCA dalam kenyataan berasingan mengumumkan Raja Randhir Singh dari India, Olimpian lima kali, dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden OCA baharu.

“Jawatan Presiden, lima Naib Presiden bagi lima zon dan ahli Lembaga Eksekutif kesemuanya tiada saingan.

“Pengundian elektronik melalui tablet memerlukan majoriti mudah 50 peratus ditambah satu daripada 45 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan. Raja Randhir menerima 44 daripada 45 undi, dengan satu undi berkecuali,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top