sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) terus kempunan mencatat kemenangan apabila sekadar terikat 0-0 dengan Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin gagal menebus kekalahan 0-2 kepada lawan sama pada pusingan pertama sebelum ini.
Tuan rumah sebenarnya mempunyai peluang terbaik untuk meraih tiga mata, namun kegagalan menyempurnakan sepakan penalti jelas menghantui mereka.
NSFC terlebih dahulu hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi Takumi Sasaki, namun gol itu dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
Anak buah K Rajan terus mencuba, namun benteng Melaka yang diketuai Irfan Zakaria dan Aroon Kumar kekal ampuh untuk mengekang setiap asakan.
Memasuki babak kedua, Melaka pula lebih menguasai permainan, namun penjaga gol Muhammad Azri Ghani bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan pelawat.
NSFC berpeluang keemasan pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti Joseph Esso, selain peluang Sasaki yang terkena tiang pada minit ke-79, namun semuanya gagal diterjemahkan kepada gol sekali gus menyaksikan perlawanan berakhir tanpa jaringan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






