NUR Aqilah Najwa muncul juara wanita sulung, manakala Dhanesh Wigneswaran menjuarai kategori lelaki pada pusingan akhir Kejohanan Unleashed Youth Simracing Championship.
Dengan kejayaan itu, Nur Aqilah Najwa membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 manakala Dhanesh membawa pulang RM6,000.
Kejohanan yang berlangsung pada 16 dan 17 Ogos di Sunway Pyramid itu disokong oleh Castrol dan dibawakan oleh Cove Circuit.
Acara bersejarah ini telah menukar pusat beli-belah tersebut menjadi sebuah arena perlumbaan yang unik, dengan bintang-bintang simracing muda Malaysia berentap demi kejayaan di hadapan penonton yang penuh semangat.
Nur Aqilah Najwa muncul sebagai juara wanita sulung membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Sorakan gemuruh bergema ketika Unleashed Celebrity Race Showdown, yang menampilkan barisan selebriti terkenal termasuk Ismail Izzani, Yonnyboii, Kidd Santhe, Zynakal, Leona Chin, Taufiq Hanafi, Nick Syaf, Asyraf Nasir, Lil J, dan Killa Driz.
Pertembungan mereka dengan pelumba simracing muda di simulator telah menggabungkan muzik, sukan permotoran dan budaya pop dalam satu momen yang tidak dapat dilupakan.
Pengasas Cove Circuit, Jeevan Raj Menon berkata, Unleashed Youth Simracing Championship bukan sekadar satu acara.
Beliau berkata, ia adalah sebuah jenama yang dibangunkan dengan gabungan selebriti, belia dan perlumbaan yang membuktikan bagaimana simracing mampu menyatukan komuniti serta membuka peluang baharu.
“Kami sudah mempunyai pelan penglibatan luar musim, dan anda mungkin akan melihat pelantikan Duta Unleashed tidak lama lagi. Ini hanyalah permulaan,” katanya pada Rabu.
Di sebalik tumpuan kepada selebriti, kejohanan ini turut menandakan satu langkah besar buat arena simracing di Malaysia.

Dhanesh Wigneswaran menjuarai kategori lelaki membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.
Kempen ini berjaya menarik hampir 4,000 penyertaan melalui siri jelajah universiti dan pusat beli-belah di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, membuktikan minat tinggi belia terhadap simracing di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 442 pelumba telah bertanding di Cove Circuit Bandar Sunway dan Cyberjaya, sebelum disaring kepada 10 pelumba lelaki dan 10 pelumba wanita terbaik untuk ke peringkat akhir.
Mereka berentap merebut hadiah terkumpul berjumlah RM30,000.
Dengan sokongan Toyota Gazoo Racing Malaysia, Men’s Biore, Sunway Pyramid, Universal Music Malaysia, dan Def Jam Malaysia, Kejohanan Unleashed Youth Simracing Championship bukan sahaja telah mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah kuasa budaya baharu malah berjaya menggabungkan elemen pertandingan, hiburan dan keterangkuman dalam membentuk masa depan sukan permotoran belia di Malaysia.