Objek dijumpai di stor disahkan bom mortar tidak berbahaya – polis

Objek dijumpai di stor disahkan bom mortar tidak berbahaya – polis


BUTTERWORTH : Polis mengesahkan bahawa dua objek menyerupai bom yang dijumpai seorang wanita ketika sedang mengemas stor di rumah milik mendiang bapanya di Taman Bagan di sini, semalam merupakan bom mortar latihan milik tentera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, bagaimanapun, bom tersebut tidak mengandungi bahan letupan serta tidak mendatangkan sebarang bahaya.

“Objek itu telah diserahkan kepada UPB (Unit Pemusnah Bom) untuk siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut buat masa ini,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, wanita terbabit yang dilaporkan terkejut dengan penemuan itu sempat membawa kedua-dua objek berkenaan ke balai polis kerana bimbang sesuatu yang buruk mungkin boleh berlaku.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, siasatan awal polis mendapati, stor yang dikemas oleh wanita itu sebelum ini digunakan untuk menyimpan barang-barang lama milik mendiang bapanya sejak 20 tahun yang lalu.

“Rumah itu dahulunya dihuni oleh mendiang bapa dan ibu kepada wanita terbabit sebelum dibiarkan tanpa penghuni selepas lelaki tersebut meninggal dunia pada Disember 2025. Saksi bebas yang dijumpai juga tidak mengetahui mengenai kewujudan objek menyerupai bom di stor tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyeru kepada orang ramai agar tidak mensensasikan kes berkaitan sehingga mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan siasatan polis.

Sebaliknya, Anuar berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau datang ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.-UTUSAN

 



Source link

OR

Scroll to Top