May 21, 2024

OIC, GCC sambut baik resolusi PBB mengenai usaha Palestin untuk keanggotaa penuh


JEDDAH – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat menyambut baik penerimaan resolusi bersejarah oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan majoriti besar yang menekankan bahawa Palestin layak mendapat keanggotaan penuh dan memberikan hak tambahan kepadanya.

Dalam kenyataan, OIC menyatakan bahawa resolusi ini mencerminkan konsensus antarabangsa dalam menyokong hak sah rakyat Palestin, termasuk penentuan nasib sendiri, kebebasan, keadilan, kemerdekaan serta keperluan menamatkan penjajahan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Ia menegaskan sokongan penuh terhadap hak sah Negara Palestin dalam memperkukuh kedudukannya di PBB, sama seperti negara lain di dunia, sebagai satu pencapaian yang sepatutnya telah dilaksanakan sejak beberapa dekad yang lepas, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu merujuk kepada hak sejarah, undang-undang dan politik rakyat Palestin ke atas tanah mereka yang telah disahkan melalui resolusi berkaitan PBB, di samping pengiktirafan rasmi oleh 144 negara terhadap Negara Palestin, yang mempunyai keahlian penuh dalam berpuluh-puluh organisasi antarabangsa dan perjanjian.

Sementara itu, di Riyadh, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jassim Mohammed Al-Budaiwi, mengalu-alukan penerimaan resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyokong hak Palestin untuk keanggotaan penuh di badan dunia itu dan mengesyorkan Majlis Keselamatan PBB menilai semula usaha permohonan Palestin itu, lapor WAM.

Setiausaha Agung GCC itu menegaskan bahawa undian sokongan daripada 143 negara adalah sebagai pengesahan dan keyakinan terhadap hak Palestin untuk pengiktirafan ini, supaya Negara Palestin dapat melaksanakan semua hak dan kewajipannya di badan dunia itu.

Beliau menekankan pendirian tegas GCC dalam menyokong perjuangan Palestin serta mencapai penyelesaian berdasarkan penamatan penjajahan Israel dan menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka di sempadan 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan serta Inisiatif Damai Arab. – BERNAMA-WAM



Source link

OR

Scroll to Top