Ops rentas: 10 kapal ceroboh zon larangan tangkap ikan disita, 34 ditahan

Ops rentas: 10 kapal ceroboh zon larangan tangkap ikan disita, 34 ditahan


GEORGE TOWN – Sebanyak 10 kapal pukat tunda bersama hasil tangkapan bernilai keseluruhan lebih RM3 juta disita dalam Ops Rentas kerana menceroboh zon larangan penangkapan ikan di perairan Kedah dan Pulau Pinang pada 11 Mei lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan (DOF), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, seramai 34 kru dan tekong terdiri empat rakyat tempatan, 28 warga Thailand serta masing-masing seorang rakyat Kemboja dan Laos berusia antara 23 hingga 65 tahun turut ditahan.

“Kesemua kapal itu didapati menceroboh zon larangan penangkapan ikan bagi kapal komersial dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan taman laut di perairan Taman Laut Pulau Payar di Kedah dan Perairan Mukahead hingga ke Perairan Gertak Sanggul di Pulau Pinang.

“Kapal itu juga beroperasi kurang 15 batu nautika dari daratan terhampir, menghalang tugas pegawai penguat kuasa dan menutup nombor pendaftaran bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Sumber Batu Maung, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainuddin dan Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Pang Anak Nyukang.

Wan Muhammad Aznan berkata, tujuh daripada kapal berkenaan ditahan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung manakala tiga lagi di Jeti Kuala Kedah.

“Turut disita kelengkapan peralatan menangkap ikan berjumlah RM3 juta manakala tiga tan ikan yang disita telah dilelong dengan nilai RM10,000,” katanya.

Tindakan itu diambil mengikut Perenggan 8(b), Perenggan 43(1)(a), Seksyen 53 dan Sub-peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Perikanan (Kelautan) (Pelesenan Vesel Penangkapan Ikan) 1985.

Beliau berkata, mulai 1 Jun ini, setiap kapal Zon C diwajibkan untuk memasang Mobile Tracking Unit (MTU) bagi membolehkan pengesanan dibuat terhadap setiap pergerakan dan kedudukan bot yang berdaftar dengan DOF. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top