OST ‘Keluarga Itu’ Kini Muncul Dengan Muzik Video! Marsha Milan Bawa Penonton Susuri Jejak Masa Dalam Visual Hitam Putih ‘Tangisan Seorang Pendosa’

OST ‘Keluarga Itu’ Kini Muncul Dengan Muzik Video! Marsha Milan Bawa Penonton Susuri Jejak Masa Dalam Visual Hitam Putih ‘Tangisan Seorang Pendosa’


Drama bersiri Keluarga Itu meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai. Malah, lagu runut bunyi (OST) naskhah terbabit, Tangisan Seorang Pendosa yang dinyanyikan Marsha Milan turut mencuri perhatian.

Selepas drama bersiri itu berjaya mencipta fenomena, muzik video (MV) rasmi bagi lagu Tangisan Seorang Pendosa telah pun dilancarkan baru-baru ini.

Mengangkat tema keinsafan dan pergolakan jiwa yang begitu kuat dalam menempuh perjalanan hidup, muzik video ini ditayangkan sepenuhnya dalam visual dramatik hitam putih, melahirkan suasana melankolik yang penuh simbolik dan mendalam.

Penggambaran MV dijalankan di Pulau Pinang dengan bangunan bersejarah dipilih sebagai latar utama bagi melambangkan memori masa lalu. Manakala, babak di pelabuhan pula menzahirkan suasana masa hadapan, melengkapkan kesinambungan naratif visual.

Menurut pengarah dan penerbit produksi 71 Studios, Izuan Mokhtar, pilihan lokasi di Pulau Pinang memberi ruang untuk visual yang lebih puitis serta sarat nilai estetika.

Kolaborasi antara Izuan, Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim melahirkan karya visual yang berjiwa, di mana setiap elemen diperlihatkan dengan penuh teliti bagi menyampaikan sebuah kisah emosi yang jauh daripada sekadar jalan cerita linear. Mereka mahu penonton bukan sekadar melihat, tetapi turut merasakan apa yang cuba diterjemahkan melalui lensa kamera.

“Sejak awal lagi, saya dan Marsha sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sekadar muzik video. Kami mahu visual yang puitis, simbolik, dan mampu membuat penonton benar-benar merasai roh lagu Tangisan Seorang Pendosa. Cabaran cuaca, cahaya dan lokasi bersejarah hanya menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, perjalanan menghasilkan muzik video ini tidak terlepas daripada cabaran. Rakaman malam di bangunan warisan menuntut kawalan pencahayaan yang rapi, sementara faktor cuaca turut memaksa krew menghentikan penggambaran beberapa kali. Babak di pelabuhan juga harus dilaksanakan dalam tempoh singkat demi menangkap cahaya semula jadi yang sempurna.

Antara momen paling diingati ialah sewaktu penggambaran di Raffles Lighthouse, apabila Marsha terpaksa mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Walaupun gugup, beliau tetap berdiri dengan penuh emosi dan menyampaikan nyanyian yang meresap jiwa.

Keseluruhan muzik video ini diperkaya dengan elemen hitam putih yang memberi nuansa abadi, gaya serba hitam Marsha yang menambahkan misteri serta drama, dan peralihan lokasi yang melambangkan perjalanan masa lalu serta masa depan.

Bagi Marsha sendiri, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah muzik video untuk ditonton, tetapi sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan penonton dengan roh sebenar lagunya.

Bagi saya, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah karya, tetapi sebuah perjalanan yang benar-benar dekat dengan hati saya. Ada babak yang sukar kerana saya sendiri perlu melawan ketakutan, tetapi akhirnya semua itu membantu saya menyampaikan rasa lagu ini dengan lebih jujur. Saya harap penonton juga dapat merasainya,” ujarnya.

Untuk makluman, Keluarga Itu yang bersiaran di slot Lestary TV3 mencetuskan fenomena tersendiri apabila mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.

Antara pelakon utama dalam drama tersebut termasuklah Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Izara Aishah, Puteri Balqis dan ramai lagi.

Penonton boleh menyaksikan semula drama bersiri Keluarga Itu di platform penstriman Tonton.





Source link

OR

Scroll to Top