Sherman dijangka antara taruhan Pahang berdepan Sabah di Temerloh. – Foto: SRI PAHANG
PENGENDALI Sri Pahang, Fandi Ahmad menuntut skuad Tok Gajah memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dalam misi mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia ketika turun melayan kunjungan Sabah FC dalam perlawanan timbal balik separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Ahad.
“Secara keseluruhan pemain sangat menantikan aksi separuh akhir kedua menentang Sabah ini. Mereka telah menunjukkan kesungguhan dalam sesi latihan hingga ke hari ini.
“Biarpun terpaksa mengetepikan khidmat Manuel Hidalgo yang digantung perlawanan selain Syazwan Andik mengalami kecederaan, kita yakin pemain yang bakal mengisi kekosongan itu nanti mampu memberikan aksi terbaik masing-masing, Insya-ALLAH,” katanya.
Perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Likas sebelum ini, skuad Tok Gajah bangkit mengikat The Rhinos, 1-1 hasil jaringan minit ke-66, kapten Kpah Sherman yang memadamkan jaringan pendahuluan Stuart Wilkin pada minit kesembilan.
Pemenang pada perlawanan ini bakal berdepan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terlebih dahulu mengesahkan slot perlawanan akhir buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-1.
Pahang kali terakhir mara ke perlawanan akhir dan menjulang Piala Malaysia pada edisi 2014 ketika menewaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, ditanya kejayaan menyingkirkan cabaran juara 33 kali Selangor FC dalam pusingan 16 sebelum ini, legenda bola sepak Singapura itu mengakui kualiti pasukan Selangor jauh berbeza daripada skuad bimbingannya itu.
“Bagaimanapun pada perlawanan malam itu, pemain menunjukkan kemahuan tinggi yang menyaksikan mereka tampil dengan semangat juang luar biasa.
“Sememangnya ia menjadi kekuatan kita pada perlawanan malam itu apabila pemain tidak putus asa berjuang hingga ke wisel terakhir. Mudahan-mudahan perjuangan kami akan berterusan dan ada rezeki ke perlawanan akhir, Insya-ALLAH,” katanya.