KUALA LUMPUR – Kejohanan Pahlawan Millefleur Bola Sepak 9 Sebelah 2025 yang berlangsung selama tiga hari dari 13 hingga 15 Jun lalu menutup tirai dengan penuh gemilang apabila pasukan PULAPOL KL A dinobat sebagai juara keseluruhan, selepas menewaskan Draz Ukhwah dari Perak menerusi sepakan penalti dramatik 3-2 dalam perlawanan akhir yang sengit di Kuala Lumpur.
Pertembungan akhir itu menyaksikan kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan dalam masa penuh sebelum PULAPOL KL A akhirnya berjaya menamatkan kemarau gol melalui penentuan penalti yang mendebarkan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan medal kejuaraan.
Selain PULAPOL KL A sebagai juara, Draz Ukhwah membawa pulang RM8,000 sebagai naib juara, manakala tempat ketiga, Alaxis FC dan keempat, Millefleur FC ‘B’ – masing-masing meraih RM6,000 dan RM4,000 berserta medal.
Anugerah khas turut disampaikan kepada Pemain Terbaik (Mohamad Kairol Abedol Latif – PULAPOL FC), Penjaring Gol Terbanyak (Muhammad Farhan Ab Hamid – Millefleur FC ‘B’) dan Pasukan Fair Play (Draz Ukhwah) – sebagai pengiktirafan kepada semangat kesukanan tinggi sepanjang kejohanan.
Surrendren Sathasivam (kanan) dan Komandan PULAPOL KL, DCP Alzafni Ahmad (kiri) turut menyampaikan hadiah Kasut Emas kepada penjaring terbanyak kejohanan.
Lebih membanggakan, kejohanan ini mencatat penyertaan hampir 100 pasukan dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak dan menjadikan ia antara kejohanan bola sepak amatur 9 sebelah paling meriah pernah dianjurkan di ibu negara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Surrendren Sathasivam,, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan atas sokongan belia serta peranan sukan dalam merapatkan jurang antara komuniti.
Wakil penganjur, Imtiaz Saudi, Pengurus Pemasaran Golden Millefleur Sdn Bhd, menyifatkan kejohanan ini sebagai bukti bahawa sukan mampu menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.
“Kita sangat teruja melihat sambutan luar biasa daripada peserta dari seluruh Malaysia. Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan, tetapi juga sebagai jambatan penyatuan komuniti melalui sukan,” katanya.
Acara kemuncak turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk motosikal, basikal, dan barangan eksklusif Millefleur.
Hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia menjadi milik Megat Syahin Aiman bin Mohd Shukor,, yang nyata tidak menyangka akan membawa pulang sebuah kenderaan baharu dari kejohanan bola sepak.

Tuah kereta Perodua Axia menjadi milik Megat Syahin (tiga, kanan) yang dipilih sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah.
Penganjur menyatakan hasrat untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan dengan skala lebih besar, seterusnya menarik perhatian lebih ramai belia serta pelancong tempatan dan antarabangsa.