September 8, 2024

Pan Gon gugur Syafiq, Zhafri jadi pengganti

Pan Gon gugur Syafiq, Zhafri jadi pengganti


KUALA LUMPUR – Impian penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad untuk kembali beraksi bersama skuad Harimau Malaya tidak kesampaian apabila dia terpaksa digugurkan akibat mengalami kecederaan.

Menurut pengendali pasukan, Kim Pan Gon, tempat Syafiq digantikan dengan pemain tengah Kuala Lumpur City (KL City), Zhafri Yahya yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.

Sebelum ini antara pemain lain yang terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan ialah Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.

Kem latihan skuad Harimau Malaya bermula hari ini bagi menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.

Pan Gon telah menyenaraikan 26 pemain ke kem latihan pusat kali ini bergabung dengan beberapa muka baharu.

Antara pemain baharu yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra’op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC),  dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).

Foto FB FAM.

Daripada senarai itu, pengendali Korea Selatan itu telah mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain daripada skuad ketika menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun ini di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun depan.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun ini sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun depan.

Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top