Pengumuman penarikan diri Pandelela daripada acara 10m platform individu wanita di Instagram miliknya hari ini.
RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong sekali lagi terpaksa menarik diri daripada saingan di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 apabila tidak menyertai acara 10 meter (m) platform individu wanita yang dijadual berlangsung hari ini di Singapura.
Menurut Pandelela, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keadaan kecederaan bahu kiri yang masih belum pulih sepenuhnya, sekali gus boleh menjejaskan prestasi dan menimbulkan risiko keselamatan semasa bertanding.
Ini merupakan penarikan diri kedua atlet berpengalaman itu selepas tidak menyertai acara 10m platform seirama wanita dua hari lalu.
“Dengan hati yang berat tetapi fikiran yang tenang, saya terpaksa tarik diri daripada acara saringan 10m platform individu kerana kecederaan bahu kiri saya belum pulih secukupnya untuk bertanding dengan selamat dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan di Instagram.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan padu daripada peminat dan rakyat Malaysia, sambil menegaskan komitmennya untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan sepenuhnya bagi kembali bersaing di pentas antarabangsa.
Dalam masa sama, Pandelela menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakan sepasukan yang masih meneruskan cabaran di Singapura, selain mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi semangat kepada kontinjen negara.