July 19, 2024

Panglima sertai pencarian Prebet Muhammad Syafiq di sempadan Malaysia-Brunei

Panglima sertai pencarian Prebet Muhammad Syafiq di sempadan Malaysia-Brunei



mdroji@bh.com.my

Kuching: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang sejak 17 hari lalu, masih diteruskan hingga hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi SAR anggota tentera Batalion Ke-7, Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu turut disertai oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Muhammad Syafiq dilaporkan hilang ketika bertugas mengiringi kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) melaksanakan Op Ukur di Limbang pada 18 Jun lalu.

Menurut kenyataan itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi turut serta dalam operasi pencarian itu, semalam.

Beliau turut disertai oleh Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Kamarulzaman Mohd Yunos.

“Semua pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu turut serta dalam operasi pencarian di Ulu Mendalam menggunakan Helikopter EC 725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Mereka melakukan tinjauan udara di kawasan pencarian untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai situasi di lapangan,” katanya.

Menurutnya, atur gerak pasukan SAR dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dengan tumpuan pencarian di kawasan tertentu yang dikenal pasti bagi memastikan pencarian dilakukan dengan sangat terperinci dan menyeluruh.

“Ia meliputi pencarian di udara dan air membabitkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk TUDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan unit Anjing Pengesan K9 serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Dengan persediaan rapi dan penggunaan peralatan khusus, operasi SAR di Limbang diharapkan dapat menemui anggota yang hilang dengan segera dan selamat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, TDM akan terus berusaha tanpa henti sehingga objektif operasi ini tercapai orang ramai diminta turut mendoakan agar Muhammad Syafiq segera ditemukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top