Paris: Pan Zhanle dan Zhang Yufei memimpin China meraih 12 pingat Olimpik di Sukan Olimpik Paris 2024, menempuhi pemeriksaan ketat berhubung kontroversi doping yang melanda pasukan itu menjelang temasya itu.
Mereka meraih dua emas, tiga perak dan tujuh gangsa, menambah koleksi pingat yang sebelum ini diraih mereka iaitu sembilan ketika di Tokyo 2020.
Sekali lagi, mereka menamatkan saingan di belakang perenang Amerika Syarikat dan Australia.
Pasukan itu tiba di Paris dengan suasana tegang selepas The New York Times melaporkan pada bulan April bahawa 23 perenang China diuji positif bahan terlarang trimetazidine (TMZ) menjelang Tokyo.
China mendakwa bahawa ia adalah akibat pencemaran makanan – penjelasan yang diterima oleh Badan Anti-Doping Dunia (WADA).
Tetapi pihak berkuasa anti-doping AS tidak berpuas hati dengan keputusan dan menuduh WADA menutup fakta kes dan skandal itu membayangi persiapan mereka.
Zhanle bintang dalam acara kuak kupu-kupu yang sudahpun beraksi selama satu dekad dengan pencapaian 10 pingat Olimpik termasuk lima gangsa di Paris, dilaporkan antara 23 perenang yang terlibat dan mengakui ia adalah pengalaman yang penuh tekanan di Perancis.
“Saya bersaing dengan baik bersama rakan-rakan dari pelbagai negara, kini apabila saya datang untuk menyertai Sukan Olimpik, saya sangat bimbang jika rakan-rakan baik saya melihat saya dengan mata (penuh keraguan) dan tidak mahu bersaing dengan saya.
“Saya bimbang jika orang Perancis berfikir bahawa atlet China tidak layak berdiri di pentas ini,” katanya.
Namun sebaliknya apabila peminat di Arena La Defense menghormati dan meraikan atlet China dengan tepukan.
Zhanle sekali lagi mengetuai pasukan, meminta mana-mana yang meragui untuk melihat butiran kes berkenaan.
“Setiap seorang daripada kami diuji 20 hingga 30 kali dalam tempoh dua bulan, tiga hingga empat kali seminggu secara purata,” katanya, sambil menambah tiada yang positif.
© New Straits Times Press (M) Bhd