July 27, 2024

Parti Cinta Sabah kini sebahagian komponen GRS – Masidi

Parti Cinta Sabah kini sebahagian komponen GRS – Masidi


KUALA LUMPUR – Parti Cinta Sabah (PCS) yang diterajui Tan Sri Anifah Aman secara rasmi telah memohon untuk menyertai komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua presiden parti dalam gabungan itu secara sebulat menerima PCS menjadi sebahagian komponen itu semalam.

“Penyertaan PCS yang merupakan parti lokal adalah langkah penting dalam mengukuhkan kesatuan dan perpaduan politik Sabah. Kami percaya bahawa kerjasama ini dapat mencapai objektif utama dalam membangunkan negeri itu dengan lebin makmur.

“GRS kini lebih kukuh dan bersedia menghadapi sebarang cabaran dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Sabah tercapai. Kami berharap rakyat Sabah akan memberikan sokongan padu kepada GRS untuk bina masa depan lebih cerah,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dilantik sebagai Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, Anifah dalam kenyataan berasingan melahirkan rasa teruja  selepas PCS diterima masuk dalam gabungan GRS bagi memastikan segala perjuangan berkaitan Sabah kini dapat dilakukan dengan kerjasama semua.

“Sememangnya dalam DNA PCS, kita berjuang isu-isu tempatan rakyat di negeri ini bukan hari ini tetapi sejak bertahun lamanya. Penerimaan GRS adalah satu signal komitmen tidak berbelah bahagi bagi memastikan agenda rakyat itu diutamakan dan pelaksanaanya menjadi lebih senang kerana persefahaman ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang begitu besar hatinya dalam menerima PCS menjadi sebahagian komponen sekaligus agenda kerajaan dalam memastikan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat di negeri ini khasnya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top