June 18, 2024

Peruntukan pembangkang tak beri tapi ada dana beli kereta baharu? – Sanjeevan


KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan disifatkan tidak peduli tentang rakyat di negeri itu apabila enggan memberikan sebarang peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

Tetapi pada masa sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah mengumumkan kenderaan rasmi jenis Honda Accord akan digantikan dengan Toyota Camry bagi penggunaan 16 wakil rakyatnya.

Menurut Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan, agak ironi apabila kerajaan negeri enggan memberi peruntukan kepada pembangkang untuk tetapi pada masa sama ada dana bagi keperluan lain.

Menurutnya, sepatutnya dana diberikan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira kedudukan parti politik kerana akhirnya dana itu dibelanjakan bagi keperluan rakyat.

“Bukankah sebagai orang nombor satu yang menerajui kerajaan perlu memahami setiap nadi rakyat? Mengapa cuba untuk menganaktirikan wakil-wakil rakyat ini demi kepentingan politik? Hanya kerana mereka telah undi pembangkang jadi adakah mereka perlu dihukum?

“Apakah besar keperluan ini untuk menukar kenderaan apabila dana untuk rakyat dinafikan? Malang sekali apabila kerajaan negeri lebih mementingkan kereta Toyota Camry daripada rakyat, sedih pun ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin memaklumkan sebanyak 16 unit kereta Toyota Camry akan dibeli bagi kegunaan Menteri Besar, 10 anggota Exco, Speaker Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan dan mufti.

Keputusan menukar kenderaan yang sudah berusia lima tahun itu juga telah diambil kerana mahu mengurangkan kos penyelengaraan yang tinggi dan ianya perlu ditanggung kerajaan negeri.

Kata Sanjeevan, kerajaan negeri tidak boleh terlalu berpolitik apabila melibatkan kepentingan dan wang rakyat.

“Sepatutnya peruntukan pembangunan patut diberi kepada kawasan pembangkang. Peruntukan pembangunan itu memang di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan kita tanya mana peruntukan untuk ADUN pembangkang. Tidak adil kerana yang terkesan adalah rakyat.

“Tidak guna retorik kononnya ada reformasi tetapi semuanya ke laut,” sindirnya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top