Vienna: Suami isteri di Austria dilaporkan berkahwin dan bercerai 12 kali dalam satu penipuan kebajikan yang mengeksploitasi pencen untuk mendapatkan pampasan dengan setiap perkahwinan baharu, lapor Newsweek.
Pegawai penyiasat berkata, pasangan itu tidak pernah benar-benar berpisah. Saudara-mara dan jiran memberitahu perkara itu kepada polis, malah seorang saksi menggambarkan pasangan itu bahagia.
Mereka juga dikatakan kekal tinggal bersama dan berkongsi katil sepanjang rentetan kes perceraian, dakwa saksi.
Kes pelik itu berlaku di Graz, Austria, tetapi menjadi tajuk utama antarabangsa selepas akhbar Jerman, Bild, menyiarkan berita itu pada Jumaat lalu.
Mahkamah Austria sebelum ini memutuskan bahawa AS$342,971 (kira-kira RM1.5 juta) yang diterima isteri dalam jumlah pembayaran selama bertahun-tahun adalah tidak wajar, dan keputusan itu pada April mencetuskan siasatan penipuan rasmi, yang bermula pada minggu lalu.
Wanita yang tidak dinamakan itu, yang kini berusia 73 tahun, menjadi balu semasa muda apabila suami pertamanya meninggal dunia pada 1981. Kematiannya bermakna dia menerima pencen balu daripada kerajaan.
Dia kemudiannya mengahwini suami keduanya, yng menurut Bild, lebih muda sedikit daripadanya, pada 1982. Perkahwinan itu bermakna pencen balunya ditamatkan, tetapi wanita itu menerima pampasan AS$28,405 (kira-kira RM126,000).
Pasangan itu berkahwin selama kira-kira enam tahun tetapi bercerai buat kali pertama pada 1988, lapor Bild. Menurut pasangan itu, perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan disebabkan mereka sering berjauhan kerana kerja suaminya sebagai pemandu lori.
Perceraian mereka menyaksikan pencen balu asal wanita itu dikembalikan dan pembayaran itu bermula semula.
Apabila dia berkahwin semula dengan lelaki sama, dia sekali lagi kehilangan hak untuk pencen tetapi, sekali lagi, menerima pampasan AS$28,405 (kira-kira RM126,000).
Satu kitaran perkahwinan dan perceraian dan pembayaran kewangan dan pencen kemudian diikuti selama beberapa dekad.
Secara keseluruhan, pasangan itu berkahwin dan bercerai sebanyak 12 kali dalam tempoh 43 tahun lalu, dengan setiap perkahwinan secara purata berlangsung kira-kira tiga tahun.
Disebabkan perkahwinan pertamanya, wanita itu bergelar pengantin perempuan sebanyak 13 kali, dengan kali pertama dengan suami pertama, manakala 12 kali lagi dengan suami kedua.
Direktorat Polis Negeri Styrian dikatakan sudah membuka kertas siasatan terhadap dakwaan penipuan dalam kes itu, Selasa lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd