MINGGU lalu, tular di media sosial satu rakaman video yang menunjukkan seorang individu lelaki dihalau daripada berada di dalam sebuah surau dalam kejadian di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat.
Video berdurasi 38 saat itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat memandangkan keberadaan pak cik tersebut hanyalah untuk beribadah.
Pendakwah terkenal, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi ketika mengulas mengenai kejadian itu mempersoalkan perbuatan orang yang menghalang lelaki berkenaan untuk terus beriktikaf di dalam surai tersebut.
“Sememangnya masjid (termasuk surau) dibina untuk umat Islam beriktikaf dan ia merupakan hak ahli kariah serta hak jemaah untuk beriktikaf di dalamnya.
“Tiada siapa boleh halang orang nak beriktikaf. Apa alasan kita untuk halang orang beriktikaf di dalamnya?” soalnya di TikTok miliknya pada Selasa.
Tambahnya, masjid dibina daripada sumbangan orang ramai, maka ia telah menjadi harta wakaf dan tidak dimiliki sesiapa.
“Apabila kita menyumbang atau berwakaf, sudah tentu kita harapkan orang ramai memanfaatkannya agar pahala terus mengalir kepada kita.
“Semakin ramai orang memanfaatkannya, semakin banyak pahala kita dapat,” jelasnya.
Ujarnya, walaupun ada isu keselamatan di kawasan tersebut, ia bukan alasan untuk terus mengunci masjid.
“Pihak masjid boleh kunci di satu-satu tempat, namun perlu ada tempat yang boleh untuk orang ramai beriktikaf dan beribadat.
“Jangan kita halang untuk orang beribadat di masjid,” katanya lagi.
Ustaz Jafri menjelaskan, sepatutnya ahli kariah berterima kasih kepada pak cik tersebut kerana memanfaatkan surau berkenaan.
“Kita rasa bertuah sebab ada orang nak beriktikaf. Jika tiada langsung orang beriktikaf, rugi semua jemaah yang memberi infak kepada masjid.
“Sepatutnya kita ucap terima kasih kepada pak cik yang iktikaf, ada juga pahala bagi orang yang menghulurkan sumbangan,” jelasnya.