Pau Marti dilantik pemangku Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Pau Marti dilantik pemangku Ketua Jurulatih Harimau Malaya


KELANA JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melantik Pau Marti Vicente sebagai pemangku Ketua Jurulatih skud Harimau Malaya susulan pengunduran Kim Pan Gon daripada jawatan tersebut.

Vicente yang sebelum ini memainkan peranan sebagai penolong kepada skuad kejurulatihan Pan Gon akan mengendalikan skuad kebangsaan itu menghadapi jadual padat perlawanan termasuk PestaBola Merdeka dari 2 hingga 10 September depan sebelum pelantikan tetap pengganti Pan Gon ditentukan kemudian.

Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi berkata, agak sukar untuk pihaknya mencari pengganti tetap Pan Gon dalam masa terdekat memandangkan Harimau Malaya akan berdepan dengan beberapa perlawanan utama akan datang.

“Kita akan menilai persembahan kejurulatihan Vincente bersama skuad kebangsaan secara berterusan sepanjang tempoh tersebut khususnya perlawanan PestaBola Merdeka dan Piala AFF Mitsubishi kelak,” katanya dalam sidang media khas di Wisma FAM hari ini.

Pelantikan Vincente sebagai pemangku telah menempah fasa baharu untuk skuad kebangsaan yang perlu meneruskan perjuangan mereka tanpa dakapan dan sentuhan Pan Gon.

Keserasian dan hubungan mesra Vincente dengan pemain Harimau Malaya dan rangka kerja kejurulatihan yang sedia ada untuk skuad dijangka diteruskan sepenuhya ketika Malaysia sedang bersiap menghadapi beberapa perlawanan dan pertandingan.

Ditanya mengenai tempoh memujuk Pan Gon yang diambil kepimpinannya, Yusoff berkata pihaknya pada awal lagi tidak dapat menerima niat Pan Gon yang mahu meninggalkan skuad kebangsaan.

“Sudah tentu sekali kami tak dapat terima keputusan mengejut dari dia (Pan Gon). Dua minggu sebenarnya kita adakan perbincangan dan cuba sedaya upaya sehabis baik untuk minta dia ubah fikirannya dan kekal bersama pasukan.

“Tapi atas alasan peribadi terpaksa hormati keputusan coach (Pan Gon).. tak dapat diselamatkan, memang sangat terasa kehilangan dia, sebab dia, dah nampak kemajuan skuad di bawah dia.

“Apapun kita akur gagal dalam pujuk dia dan pada masa saya kena hormati juga keputusannya,”katanya lagi.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top